BUDAYARENCANA

Milah nasi lemak

Oleh Farahin W
Nasi lemak lagi. Milah mengeluh. Hembusan nafasnya kedengaran mahu putus asa. Dan dia benar-benar mahu muntah. Butir nasi memandangnya dan dengan perlahan ketawa terkekeh-kekeh. Mata-mata ikan bilis terkedip-kedip – mengejek Milah dan kemudian ketawa lagi. Pandangannya kini tertancap pada merah sambal yang diam. Kau kali ini tak mahu kata apa? Sambal merenung dan tersengih-sengih. Sambil sambal tersengih-sengih, tubir mata Milah menyaksikan telur-telur terlompat-lompat dengan lidah terjelir-jelir. Menjengkelkan.
Dengan gerak perlahan, Milah menghidangkan nasi lemak (lagi) untuk suaminya. Sudin akan pulang dari kerja, bercerai dengan uniform, datang ke meja makan, memandangnya, memandang nasi lemak, memandangnya kembali. Nasi-nasi memandang Milah, ikan bilis memandang Milah, sambal memandang Milah, telur memandang Milah dan semua ketawa macam setan. Mengenang Sudin yang kecewa, Milah ikut kecewa. Dengan keluhan yang berjela-jela, Milah senduk nasi lemak ke dalam pinggan sebelum langkah Sudin kedengaran. Saya dah balik, kata Sudin. Milah kini bertukar jadi Nora Danish. Bibirnya merah melengkung, tulang pipinya menaik. Dia mendakap Sudin, memberikan ciuman dan mengiring lelaki itu ke meja makan.
Macam yang Milah bayangkan – Sudin pulang kerja, melepaskan uniform, datang ke meja makan, memandang nasi lemak – Milah – nasi lemak – Milah.
“Nasi lemak lagi?”
Milah, Milah. Milah bodoh tak pandai memasak. Hari-hari nasi lemak. Milah, hai lah Milah. Milah bodoh tak pandai memasak. Hari-hari nasi lemak. Nasi lemak menyanyi-nyanyi, mengejek Milah. Dan semakin Milah mahu lari, suara itu semakin kuat mengekor.
Kan saya dah belikan ikan? Suara Sudin ikut hadir di sela suara nasi lemak. Mana ayam semalam? Kenapa nasi lemak? Mana lauk lain? Milah, Milah. Milah bodoh tak pandai memasak. Hari-hari nasi lemak. Milah tak kata apa-apa. Setiap ekor ikan bilis yang berkoir dari tadi kini berenang di dalam perut. Binatang jahat kuat mengejek!
“Kau cubalah ikut resipi mana-mana. Kan ada banyak. Tu, kau tengok je di Facebook”, suara Leha mendesing. Di hadapannya kini ialah daging kambing berlongkeh-longkeh. Separuh nasi lemak semalam terbuang sebab Sudin dah jelak. Kau masaklah kari, cadang Leha lagi. Ikut je resipi Che Nom, kata Leha. Aziekitchen pun bagus, kata Leha. Tapi kalau kau nak aku datang rumah kau masak dengan kau pun aku okay, kata Leha.
Milah bawa pulang daging kambing, rempah kari dan santan. Bawang putih dan bawang merah ditumis sebelum rempah kari menaikkan aroma. Gigi Milah berbaris di hadapan dan matanya bersinar-sinar. Milah basuh beras sambil mendendangkan Gurindam Jiwa dan menunggu semuanya sedia. Sudin pasti sukakan kari kambing. Sudin akan rangkul tubuhnya dari belakang, membelai pipi Milah dan berpuas hati dengan kerja Milah hari ini.
“Saya dah balik”
Milah hampir terlompat mendengar suara kekasih. Dia tidak sabar mahu menyaksikan senyuman Sudin saat pertama kali mengunyah daging kambing. Milah buka periuk nasi. Jantungnya berlari dan jemarinya bergetar. Serasa seluruh alam kini sedang menyaksikan butir-butir nasi tidak tercemar dengan masin santan. Periuk nasi dibuka dan aromanya ialah kepulan awan yang tersandar di dinding dapur. Rumahnya – pentas orkestra, Milah, Milah. Milah bodoh tak pandai memasak. Hari-hari nasi lemak. Milah,  hai lah Milah. Milah bodoh tak pandai memasak. Hari-hari nasi lemak.
Di dadanya – puting beliung mengamuk. Jantungnya bergoncang, hati dan ususnya terbelit, ketat dan tak boleh lagi dileraikan. Nasi lemak berpusing keliling kepala. Kepala Sudin nasi lemak. Mata Sudin dua butir telur. Hidung Sudin ikan bilis dan mulutnya, sambal meleleh. Kari kambing tak ada!
Milah lari ke bilik. Merenung wajahnya di hadapan cermin. Ini sumpahan! Betul-betul sebuah sumpahan! Milah buka almari, kain, baju dikeronyok ke dalam beg lalu berlari keluar dari rumah. Selamat tinggal, Sudin. Selamat tinggal!
Perjalanan Milah diiringi tangisan dari langit. Berjujuran macam air matanya yang berbutir-butir macam nasi lemak. Milah menghitung-hitung dosanya sambil mata tertutup dan wajah menadah hujan. Hujan sejuk, sejuk lagi hati Milah. Kehangatan tubuh Sudin yang membelai saban malam tak mungkin lagi Milah rasakan. Parau suara Sudin kini cuma muncul dari dalam laci-laci memori yang Milah mahu tutup, kuncinya mahu dilempar jauh-jauh dari kocek ingatan. Kasar tangan, hembusan nafas di telinga, lembut bibir dan harum tubuh Sudin ikut terkubur bersama kenangan lima tahun percintaan. Nisannya berwarna putih, berbutir-butir dengan sambal merah dan ekor-ekor ikan bilis jadi kerikil kuburan. Tangisan Milah tak henti-henti diselang-seli dengan nyanyian mengejek nasi lemak yang terloncat-loncat di atas tar.
Bertahun lamanya mengenang cinta yang basi, Milah menikah lagi. Air mata Milah ikut mengering dan mekar sayang, kasih mula mewangi.  Milah menyayangi Hassan kerana Hassan selalu mendamaikan. Setidaknya, itu – dua bulan perkahwinan, mereka selalu rindu dan mesra. Milah pandai memasak kata Hassan. Dan kata-kata Hassan buat Milah rasakan bahawa di dapurlah kelak dia disemadikan. Tempat Milah memang di dapur, menumis, menggoreng, merebus dan mencuba setiap resipi baru untuk Hassan. Hassan akan makan kenyang-kenyang dan memeluk Milah sambil berbisik kalau masakan Milahlah yang paling unggul. Macam mahu terbang Milah rasa.
Suatu hari, Hassan pulang dengan sebungkus lauk. Milah pandang Hassan lama sebelum dua bibirnya bercerai. Abang beli lauk? Kata Milah. Milah dah masak – tambahnya.
“Awak masak apa? Nasi lemak?”
Perut Milah berkeroncong. Mata ikan bilis tiba-tiba celik dan menyeringai. Dinding dapur terpercik dengan sambal tumis dan kini semuanya merah belaka. Butir-butir nasi berbaris panjang sebelum semuanya tersengih-sengih merenung Milah. Milah lari. Milah lari!
Berlarilah Milah keluar dari rumah sambil menunggu bala tiba dan meragut nyawanya. Sesudah Sudin, Hassan dia tinggalkan dan entah berapa ramai lagi kekasih hati bakal dia korbankan. Air mata Milah tumpah – mengalir deras macam santan, hai lah Milah. Melaralah jiwa Milah saban hari. Menolak semua lelaki yang mahu menikahi.
“Usahlah kau fikirkan apa-apa, Milah. Kau tahu apa yang kau perlukan? Seorang lelaki yang boleh memasak”
Mendengar nasihat Leha, Milah setuju bernikah lagi. Hamid memujuknya sambil berkata – saya boleh masak. Untuk awak, saya boleh memasak. Berbahagialah Milah mahu bersama Hamid. Orangnya tak sasa macam Sudin, tak  kacak macam Hassan, tapi setiap yang dia bisikkan manis belaka. Setidaknya, itu – dua bulan perkahwinan. Suatu hari, pulang dari warung, Milah bawa asam pedas ikan pari. Awak beli lauk? Kata Hamid. Saya dah masak, tambahnya lagi.
“Awak masak apa? Kari ayam?”
Peha ayam berdiri, kentang-kentang bergelek-gelek, dan lobak mula berputar keliling Hamid. Semuanya mengilai-ngilai dengan mata terjegil merenung Hamid. Mereka ketawa. Menangis. Ketawa, menangis, kemudian mengejek Hamid. Hamid, hai lah Hamid.

Pengarang :