Trio Kata negara (dari kiri) Naccy Nelly Evvaferra Rojin, Nathalia Sherawinnie Anak Yampil dan Lovelly Anne Robberth bergambar bersama pingat perak yang diraih mereka dalam acara akhir Kata Berpasukan Wanita menentang trio Vietnam pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Gymnasium Linping pada 6 Oktober 2023. Foto Bernama
AGENDASUKANKINI

Sukan Asia: Karate sumbang perak, pingat ke-29 negara

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

HANGZHOU, 7 OKT: Kem karate negara mengambil alih perhatian di penghujung temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, apabila menambah kutipan pingat kontinjen Malaysia yang sudah pun melepasi sasaran ditetapkan, dengan meraih perak dalam acara kata berpasukan wanita semalam.

Pada hari kedua saingan sukan itu di Gimnasium Pusat Sukan Linping, pingat perak yang diraih trio Naccy Nelly Evvaferra Rojin, Niathalia Sherawinnie Yampil dan Lovelly Anne Robberth itu, merupakan pingat ke-29 negara.

Trio negara yang dikatakan mampu mencipta kejutan menyumbang emas, terpaksa akur kepada kehebatan pemenang perak Kejohanan Karate Asia 2023 dan pemenang emas Sukan SEA 2023 dari Vietnam, yang terdiri daripada Nguyen Thi Phuong, Nguyen Ngoc Tram dan Luu Thi Thu Uyen.

Dengan dua pingat perak telah diraih termasuk satu menerusi kata individu wanita kelmarin, kem karate berpeluang terus mencuri perhatian hari ini, apabila pemenang gangsa edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, S Prem Kumar turun beraksi dalam acara kumite individu lelaki bawah 67 kilogram (kg).

Tumpuan hari ini turut terarah kepada regu lelaki negara yang akan turun mempertahankan emas antara regu, yang dimenangi pada edisi lepas, namun berdepan halangan apabila bertemu kuasa besar sukan sepak takraw, Thailand di pentas final di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua.

Pertembungan hari ini bukan sahaja memberi peluang kepada skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun menghadiahkan emas, malah menebus kekecewaan selepas tewas di tangan Thailand pada final acara regu berpasukan lelaki minggu lalu.

Trio Kata negara Nathalia Sherawinnie Anak Yampil, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Lovelly Anne Robberth ketika beraksi dalam acara akhir Kata Berpasukan Wanita menentang trio Vietnam pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Gymnasium Linping pada 6 Oktober 2023. Foto Bernama

Sementara itu, di Gimnasium Huanglong, atlet gimrama Ng Joe Ee yang membuat penampilan pertamanya di Sukan Asia, berjaya menampilkan aksi memberangsangkan pada pusingan kelayakan untuk melangkah ke final individu all-around.

Di Gimnasium Binjiang pula, perjuangan beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhenti di peringkat separuh akhir, selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan India Satwik Sairaj Rankireddy-Chirag Chandrashekhar yang melakar kemenangan 21-17, 21-12.

Bagaimanapun, kegagalan itu tetap dibayar dengan gangsa, sekali gus menyaksikan Malaysia sekurang-kurangnya akan membawa pulang 31 pingat termasuk satu daripada sepak takraw menerusi acara regu lelaki.

Kilaun gangsa itu juga memperbaiki pencapaian skuad badminton negara yang gagal membawa pulang sebarang pingat pada edisi lalu.

Dalam pada itu, hasrat kem ekuestrian untuk menambah kilauan pingat tidak kesampaian, selepas S Nageswaran bersama kudanya Wanskjaer Cuneo, menamatkan final acara lompatan individu di tempat ke-12 di Pusat Ekuestrian Tonglu.

Hari ini skuad hoki wanita menutup kempen di Sukan Asia dengan membuat perhitungan menentang Thailand, pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Gonshu Canal Sports Park, selain pasukan jiu-jitsu dan xiangqi akan terus mengibar cabaran Malaysia.

Setakat semalam, Malaysia berada di kedudukan ke-14 selepas mengumpul lima emas, tujuh perak dan 17 gangsa (29 pingat), manakala China teratas dengan kutipan 187-104-62, diikuti Jepun di tempat kedua (47-57-62) dan Korea Selatan ketiga (36-49-84).

– BERNAMA


Pengarang :