Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab pertanyaan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 10 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Negara besar tutup mata isu Palestin, benarkan penghapusan etnik

SHAH ALAM, 16 OKT: Malaysia kesal tindakan negara besar dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berdiam diri dan menutup mata berhubung kezaliman Israel terhadap Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bukan hanya Gaza dibom bertubi-tubi yang
mengorbankan nyawa setiap minit, malah serangan turut merebak ke Lebanon dan Syria.

Tidak cukup menjadikan Gaza sebagai penjara terbuka terbesar dunia, beliau berkata rejim Israel kini membuat kepungan menyeluruh dan tiada resolusi supaya sekatan itu ditarik balik.

“Laluan penghantaran bantuan kemanusiaan antarabangsa dan beberapa negara disekat pula dengan mengebom pintu kemasukan di Salah Al Din hingga tidak dapat menyeberangi sempadan Rafah-Gaza.

“Jelas ini kezaliman amat sangat. Orang awam, wanita dan orang tua serta mereka yang terlantar sakit dibiar tanpa pembelaan dan bantuan ekoran tindakan angkuh rejim penjajah Israel,” katanya.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata arahan supaya rakyat Gaza meninggalkan tempat
kelahiran mereka merujuk kepada penghapusan etnik (ethnic cleansing).

Tegasnya, tindakan tersebut akan mewujudkan krisis kemanusiaan besar dunia yang baharu selain memberi kesempatan kepada Israel meneruskan dasar merampas tanah rakyat Palestin.

“Dunia barat menutup mata dan masih membenarkan tindakan penghapusan etnik oleh rejim Israel. Ini jelas menyalahi undang-undang antarabangsa dan terangkum sebagai pembasmian kaum (genocide) dan pembunuhan besar-besaran,” katanya.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan sekurang-kurangnya 2,670 orang terkorban di Gaza dan lebih 9,600 cedera akibat serangan balas Israel sejak 7 Oktober.


Pengarang :