Orang ramai memilih pelbagai barangan pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di Dewan MBSA Pulai pada 16 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk hargai jualan murah dekat rumah, bantu jimat belanja dapur

SHAH ALAM, 16 OKT: Seawal jam 7 pagi penduduk sudah beratur dan menunggu di Dewan MBSA Pulai Seksyen 27A, Jalan Sungai Gapis untuk mendapatkan pelbagai barangan murah dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER), DUN Kota Kemuning.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu dikunjungi lebih 500 penduduk yang memanfaatkan jualan murah berkenaan.

Ahli Majlis Zon 10 MBSA, Saribanon Saibon berkata penduduk ternanti-nanti dan sering bertanya bila giliran program jualan murah yang membawa keperluan asas pada harga murah diadakan di kawasan itu.

Ahli Majlis Zon 10 Kota Kemuning Saribanon Saibon ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di Dewan MBSA Pulai pada 16 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Apabila tiba giliran di Zon 10, mereka teruja dan sanggup menunggu awal kerana mahu mendapatkan keperluan harian. Alhamdulillah, jualan mendapat sambutan dan penduduk gembira,” katanya ditemui pada program tersebut.

Tambahnya, sejak jualan murah diperkenalkan, hampir 20,000 penduduk di kawasan itu mendapat manfaat dan mahu program itu diteruskan.

Sementara itu, suri rumah, Syafarina Wan Shek, 36, berkata beliau sudah tiga kali mengunjungi jualan murah dan tidak akan melepaskan peluang jika program itu diadakan di sekitar kediamannya di Alam Megah.

“Harga barangan di program ini murah dan saya tidak kisah jika perlu beratur untuk membeli, setakat ini program berjalan lancar dan tidak perlu menunggu terlalu lama.

Suri rumah Syafarina Wan Shek,36, ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di Dewan MBSA Pulai pada 16 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya memang ternanti dan harap diteruskan lagi pada masa akan datang kerana harga ditawarkan tidak dapat di pasaran,” katanya yang turut berterima kasih JER diadakan di kawasan mereka.

Dalam pada itu, Zulkifli Abdullah, 53, berkata program jualan murah membantu mengurangkan beban keluarganya kerana beliau diberhentikan kerja sejak Covid-19.

Zulkifli Abdullah,53 ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di Dewan MBSA Pulai pada 16 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya diberhentikan kerja sejak Covid-19 dan ada mencari pekerjaan tetapi tidak bersesuaian atas faktor kesihatan. Buat masa ini, cuba mencari pekerjaan yang sesuai dengan kesihatan.

“Dengan adanya jualan ini ia sangat membantu, penjimatan wang boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Pelbagai barangan dapur dijual pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di Dewan MBSA Pulai pada 16 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Inisiatif tersebut memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi program jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai menunggu giliran bagi membeli barangan dapur pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di Dewan MBSA Pulai, 16 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :