Sebahagian daripada 350 keluarga India membeli barangan keperluan menyambut Deepavali menggunakan baucar Jom Shooping RM100 di pasaraya Giant Seri Kembangan, Subang Jaya pada 8 Oktober 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Seri Serdang
EXCOSELANGOR

Negeri agih 22,000 baucar Jom Shopping Deepavali, babit kos RM4.4 juta

SHAH ALAM, 16 OKT: Sebanyak 22,000 baucar beli-belah disediakan Kerajaan Negeri sempena Deepavali tahun ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM4.4 juta.

EXCO pembasmian kemiskinan berkata setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 22 kawasan pembangkang menerima kuota antara 300 hingga 600 baucar bergantung bilangan penduduk India di kawasan masing-masing.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu ketika diwawancara di pejabatnya di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 16 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Baucar paling banyak diserah kepada DUN Sentosa iaitu 600, namun ada juga DUN kita peruntuk 300 hingga 350 baucar sahaja kerana jumlah masyarakat India terlalu sedikit.

“Kita juga lantik wakil rakyat dan ahli Parlimen terdekat untuk menyelaras baucar ini kepada penduduk di kawasan pembangkang,” kata V Papparaidu pada sidang media di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau memaklumkan permohonan baucar Jom Shopping bernilai RM200 boleh dibuat melalui pejabat DUN sehingga 24 Oktober dengan agihan kepada penerima mulai 13 Oktober hingga 11 November.

Jelas Papparaidu, pendapatan bulanan isi rumah pemohon mesti bawah RM3,000 dan pengundi Selangor, manakala penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) tidak layak memohon.

“Belian barangan keperluan harian boleh dibuat di pasar raya terpilih seperti Giant, Econsave, TF Value-Mart, NSK Trading, Mydin, Best Fresh Mart, Lotus, Sri Ternak Food Mart, CLC dan Grand Union.

“Penerima juga diingatkan supaya menggunakan baucar ini untuk membeli barangan keperluan sahaja. Pembelian rokok, minuman keras dan tambah nilai prabayar dilarang sama sekali,” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan mengikut komponen kaum yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.

Selain Deepavali, inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut diberi kepada keluarga kurang mampu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Nilai baucar juga dinaikkan kepada RM200 berbanding RM100 sebelum ini berikutan kos sara hidup yang menekan rakyat ketika ini.


Pengarang :