Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun ayam yang dijual di Jualan Ehsan Rahmah (JER) sempena Kempen Discover Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023 di Antara Gapi, Serendah pada 17 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pakar ekonomi: Pantau keluaran, bekalan ayam elak catutan di pasaran

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan perlu memantau dengan teliti keseluruhan sistem pengeluaran, pembekalan, pemborong dan peruncit untuk memastikan tiada sebarang masalah dan aktiviti pencatutan dalam pasaran berikutan penamatan subsidi ayam esok.

Profesor ekonomi di Sunway University Prof Yeah Kim Leng berkata kerajaan boleh mempromosikan agro bazar, kedai Rahmah dan kedai runcit untuk menjamin tiada kekurangan bekalan dan harga sumber protein itu berpatutan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Kenaikan harga adalah wajar, namun lebih sesuai jika kerajaan dapat menyediakan bantuan tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah bagi mengurangkan kenaikan kos sara hidup.

“(Bagaimanapun) pemain industri telah memberikan komitmen bahawa bekalan ayam mencukupi dan kenaikan harga adalah wajar dan tidak terlalu drastik, itu khabar gembira,” katanya kepada Bernama

Yeah berkata memastikan persaingan dan menggalakkan skala ekonomi yang lebih besar serta kecekapan dan produktiviti yang tinggi dalam kalangan pengeluar dan pembekal ialah kunci utama kepada harga ayam dan telur yang lebih murah.

Bagaimanapun, beliau berkata memandangkan industri penternakan serta penawaran dan permintaan keseluruhan akan didorong oleh kuasa pasaran, pengguna harus menjangkakan harga pasaran berubah-ubah sama seperti barang dan perkhidmatan lain dalam ekonomi pasaran.

Beliau berkata pengeluar akan terdorong untuk mengeluarkan produk lebih banyak sebagai tindak balas kepada harga yang lebih tinggi, dan peningkatan bekalan dan persaingan akan membantu menurunkan harga.

“Secara ringkas, subsidi kerajaan telah berperanan dalam menstabilkan harga. Dengan membenarkan harga disesuaikan secara bebas, firma ternakan akan dapat mengatasi turun naik biasa dalam kos input dan menyesuaikan harga pengeluaran dan jualan berdasarkan permintaan dan bekalan pasaran,” katanya.

Selain membebankan kerajaan dan pembayar cukai, Yeah berkata subsidi yang berpanjangan pasti mengakibatkan ketidakcekapan industri, pengeluaran dan penggunaan yang lebih atau kurang, serta tingkah laku yang tidak diingini seperti penyorok dan penyeludup.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan bersetuju untuk menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam bermula esok (1 Nov).

Mohamad berkata kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sejak Februari 2022.

Beliau berkata rasional untuk penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Mohamad berkata penamatan subsidi ayam itu selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini di bawah harga siling.

Dalam hal itu, beliau berkata kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan itu terus berada pada kadar munasabah.

Sementara itu, Profesor Kehormat dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Prof Dr Mohd Nazari Ismail berpandangan langkah yang diambil kerajaan itu dilihat sesuatu yang perlu bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kerajaan ketika ini.

Mohd Nazari berkata kerajaan terpaksa meminjam wang dan membayar bunga atas pinjaman itu bagi menanggung subsidi ayam yang akhirnya mengakibatkan rakyat terbeban.

-BERNAMA


Pengarang :