Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berucap pada majlis sambutan Hari Warga Emas Sedunia peringkat Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pegawai perubatan digalak lanjut pengajian jadi pakar geriatrik

SHAH ALAM, 1 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuka peluang kepada pegawai perubatan negara ini melanjutkan pelajaran dalam jurusan geriatrik bagi melahirkan lebih ramai pakar bidang itu.

Timbalan menterinya berkata negara memerlukan ramai pakar x-ray warga emas sebagai tambahan kepada 34 pakar dimiliki setakat ini seterusnya mencapai sasaran 600 pakar seperti dicadang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Sudah pasti keperluan (pakar) dalam (bidang) geriatrik amat terbuka di Malaysia dan pegawai perubatan yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut adalah dialu-alukan.

“Mungkin ketika ini bidang tersebut tidak banyak diketahui, tetapi cara kita atasi kekurangan pakar (geriatrik) ialah dengan menyebarkan ilmu dan maklumat kepada doktor.

“KKM sangat sokong (pegawai perubatan lanjut pelajaran dalam bidang geriatrik). Dengan rancangan bersesuaian dan latihan mengambil masa tiga tahun, kita yakin dapat capai (sasaran WHO),” kata Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata ketika sambutan Hari Warga Emas Sedunia peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini hari ini yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melihat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa tekanan darah selepas merasmikan sambutan Hari Warga Emas Sedunia peringkat Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Lukanisman menambah kerajaan juga merancang mewujudkan Pusat Geriatrik Negara yang memfokuskan perkhidmatan terbabit dengan proses libat urus akan dijalankan bersama Kementerian Kewangan (MoF) bagi kelulusan dana.

Beliau menjelaskan perancangan itu juga selaras titah Sultan Sharafuddin yang mahu kerajaan memberi perhatian terhadap perkhidmatan geriatrik di fasiliti KKM.

“(Pembangunan) Pusat Geriatrik perlu melalui perancangan komprehensif, kewangan kukuh dan penyediaan tenaga pakar mencukupi. Jadi beri masa kepada KKM.

“Segala perancangan sudah ada, cuma perlu ada libat urus dengan kementerian terutama MoF untuk memastikan (kelulusan) dana supaya pembangunannya dapat direalisasikan,” katanya lagi.


Pengarang :