Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pekebun lega kerajaan peruntuk RM10 juta hadapi konflik hidupan liar

GUA MUSANG, 14 OKT: Pengumuman kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang menanggung kerugian akibat terlibat dengan konflik hidupan liar memberi kelegaan kepada mereka yang terkesan khususnya di daerah ini.

Pekebun Zahari Daud, 53, dari Jalan Subong, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah berkata langkah itu sangat bermakna kepada mereka yang kehabisan modal setelah tanaman musnah.

“Pekebun mengalami banyak kerugian akibat tanaman dimusnahkan hidupan liar.

“Semoga peruntukan itu dapat membantu pekebun yang terkesan dengan ancaman gajah liar terutama untuk meneruskan aktiviti kerana ada antara mereka kehabisan modal, kebun kerap menjadi korban gajah liar,” katanya hari ini.

Bagi pekebun dari Kampung Awek, Ismail Awang Hamad, 60, berkata beliau gembira akhirnya kerajaan mendengar rintihan dan keluhan pekebun kecil yang sekian lama menanggung kerugian akibat konflik hidupan liar dan pekebun.

“Semoga berita ini dapat menyuntik semangat pekebun lain yang berdepan kerugian ribuan ringgit angkara kebun diceroboh gajah liar di sini,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan sejumlah RM10 juta disediakan bagi membantu meringankan beban kerugian yang ditanggung rakyat yang terlibat dengan konflik hidupan liar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ia susulan bagi tempoh 2018 hingga 2022 lebih 46,000 aduan dilaporkan melibatkan konflik hidupan liar seperti gajah, harimau dan tapir yang merosakkan harta benda dan tanaman pertanian dengan nilai kerugian dianggarkan RM43 juta.

– BERNAMA


Pengarang :