SHAH ALAM, 12 OKT: Warga Selangor berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di empat pasar raya Segi Fresh Sabtu ini.
Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Segi Fresh dijadual berlangsung di cawangan Saujana Utama, Sungai Besar, Batang Kali dan Pulau Indah.
“Kami bekerjasama dengan PKPS dalam misi memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama golongan B40 yang terkesan ekoran kenaikan kos sara hidup.
“Dapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti,” kata Segi Fresh menerusi Facebook.
Pada Julai, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS