EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail bergambar bersama peserta selepas majlis perasmian Kursus Asas Komuniti Sulh & Rakan Sokongan Keluarga (BSK) Jakess di Hotel Mardhiyyah Shah Alam pada 4 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pemimpin masyarakat jadi pendamai, kurangkan kes mahkamah syariah

SHAH ALAM, 5 OKT: Pemimpin masyarakat di negeri ini diberi peranan sebagai perantara dalam proses sulh (perdamaian) di peringkat awal kepada pasangan bermasalah.

EXCO Luar Bandar Datuk Rizam Ismail berkata inisiatif yang diperkenal pada 2001 membantu penyelesaian secara baik sekali gus mengelak kes dibawa ke mahkamah syariah.

“Selangor merupakan peneraju dalam usaha ini. Sebelum ini, hanya kita yang laksanakan proses sulh di peringkat awal.

“Saya harap peserta dapat gunakan ilmu untuk bantu selesaikan masalah rumah tangga. Selangor memiliki kes masalah rumah tangga tertinggi dan kita mahu elak ia berlarutan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan perasmian Kursus Asas Komuniti Sulh dan Rakan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Hotel Mardhiyyah di sini malam tadi.

Ketua Hakim Syarie Selangor Dato’ Mohammad Adib Husain

Program anjuran Jabatan Kehakiman Syarie Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu disertai 47 pemimpin masyarakat dari seluruh daerah.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Selangor berkata proses sulh di peringkat awal membantu mengurangkan sehingga 50 peratus kes rumah tangga di mahkamah syariah.

Menurut Dato’ Mohammad Adib Husain perkara itu disumbang oleh keyakinan pemimpin tempatan dalam menangani kes pertikaian pasangan yang dipelajari menerusi kursus serta latihan.

“Memang ada perubahan positif. Sulh di peringkat awal ini membantu kes tidak dibawa ke mahkamah sehingga 50 peratus. Kita bantu elakkan perceraian,” katanya.


Pengarang :