Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melawat galeri sejarah Pusat Pendidikan Hafiz sempena majlis Sambutan 40 Tahun Jubli Delima Pusat Pendidikan Hafiz dan Anugerah Kualiti Pelajar Cemerlang di Wisma Hafiz, Klang pada 21 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pemutihan maahad tahfiz dilanjut, beri ruang pemilik selesai isu PBT

KLANG, 22 OKT: Program pemutihan maahad tahfiz persendirian dilanjut bagi memberi ruang kepada pemilik menyelesaikan beberapa isu khususnya melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelanjutan sehingga akhir tahun depan supaya institusi pendidikan terbabit mendapat pensijilan mengikut garis panduan ditetapkan.

“Sebahagian besarnya (pemutihan) sudah selesai seperti kesihatan, bomba, bangunan kecuali PBT yang kini sedang menyelesaikan satu persatu.

“Alhamdulillah, masa pemutihan dilanjutkan sehingga akhir tahun depan untuk memberi masa kerana sebahagiannya bukan salah mereka (pemilik). Kebenaran peringkat PBT ada ‘delay’ sebab melalui proses tertentu.

“Kadangkala ia membabitkan pengalihan zon yang mengambil masa dan PBT perlu melaksanakannya kerana perlu melihat secara menyeluruh,” katanya ketika merasmikan majlis sambutan 40 Tahun Jubli Delima Pusat Pendidikan Hafiz di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sijil kecermelangan hafazan 30 Juzuk dan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia kepada penerima sempena majlis sambutan 40 Tahun Jubli Delima Pusat Pendidikan Hafiz dan Anugerah Kualiti Pelajar Cemerlang di Wisma Hafiz, Klang pada 21 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin turut berterima kasih kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) yang memberi sokongan kepada pusat tahfiz dalam menyelesai proses pemutihan.

Sementara itu, Pengerusi Pitas Mohamad Hafiz Haneefa berkata 100 maahad tahfiz kini mendapat sijil dan didaftar penuh selaras garis panduan pemutihan sekolah agama yang dikuat kuasa Kerajaan Negeri.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) Mohamad Hafiz Haneefa

“Semua maahad tahfiz ini lulus dan telah dapat kebenaran merancang, sijil layak menduduki (CF) walaupun kosnya agak tinggi namun selesai dengan bantuan pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Pitas, Jabatan Agama Islam Selangor dan PBT telah berbincang serta mengeluarkan garis panduan 2.0 yang lebih membantu maahad tahfiz dan lebih mudah.

“Kita berharap perkara ini dapat dibawa ke mesyuarat negeri secepat mungkin dan isu pemutihan ini dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Ogos lalu, Amirudin meminta semua pihak supaya tidak mengulangi fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Malah, pada Julai lalu, beliau menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.

Sebaliknya, usaha menambah baik garis panduan pusat pendidikan agama bagi memastikan tahap keselamatan murid terjamin berasaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Pada 27 Jun, Kerajaan Selangor juga memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Ia membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada Januari tahun depan.

 

 

 


Pengarang :