Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Pelabuhan Klang di Surau Saifulhuda, Klang pada 1 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk beratur seawal 7.30 pagi beli beras Ehsan, 250 pek habis terjual

KLANG, 1 OKT: Sebanyak 250 pek beras Ehsan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) habis terjual dalam tempoh kurang dua jam pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) hari ini.

Setiausaha Surau Sharifulhuda Taman Kem, Pelabuhan Klang berkata beras cepat habis berikutan ia sukar didapati selain harga beras biasa agak mahal di pasaran.

Setiausaha Surau Sharifulhuda Taman Kem, Anuar Mohd

“Penduduk sanggup menunggu seawal jam 7.30 pagi untuk mendapatkan nombor giliran dan ada yang membantu menyusun kerusi.

“Alhamdulillah jualan mendapat sambutan dan bukan sahaja dihadiri penduduk sekitar Taman Kem tetapi daripada luar seperti Rantau Panjang, Berembang dan Pandamaran,” kata Anuar Mohd.

Beliau juga berharap JER dapat diteruskan dan lebih kerap dianjurkan kerana ia meringankan beban masyarakat khususnya berpendapatan rendah.

Norhanim Hartono

Pengunjung, Norhanim Hartono, 36, berkata beliau sudah tiga kali berbelanja di JER sejak dianjurkan tahun lalu.

“Harga barangan yang dijual di program ini murah dan membantu menjimatkan perbelanjaan dapur sekali gus meringankan beban.

“Seharusnya lokasi program jualan ini ditambah supaya dapat membantu rakyat untuk membeli keperluan dapur seperti beras dan telur yang kini susah didapati di pasaran luar dan harganya pun mahal,” katanya.

Bagi suri rumah, S Thilaga, 40, berkata beliau pertama kali hadir ke program itu sebelum ini atas faktor lokasi agak jauh daripada kawasan kediaman.

S Thilaga

“Saya amat teruja untuk hadir ke jualan ini kerana jiran-jiran beritahu harga agak murah dan mudah didapati berbanding jika pergi ke pasar raya luar yang selalu habis.

“Kebetulan barangan dapur juga habis dan saya bercadang untuk beli beberapa keperluan seperti beras, telur dan ikan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Lokasi terkini jualan seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :