Orang ramai mendapatkan penyata akaun di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Cawangan Shah Alam, Seksyen 15 pada 7 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perincian, kaedah pelaksanaan akaun fleksibel KWSP sedang dimuktamad

SHAH ALAM, 23 OKT: Perincian dan kaedah pelaksanaan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 sedang dimuktamadkan, kata timbalan menteri kewangan.

Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sehubungan itu kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan pengeluaran bersasar daripada KWSP.

“Mulai tahun depan Akaun Fleksibel. Bagaimana kaedahnya, berapa peratus daripada simpanan (KWSP) boleh masuk dalam akaun fleksibel, itu semua belum lagi diputuskan.

“Tapi tujuannya adalah untuk membantu pengeluaran ketika kecemasan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan mengenai pengeluaran bersasar KWSP di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Ahmad berkata Akaun Fleksibel boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 khususnya ketika kecemasan.

“Ini adalah untuk memanfaatkan dan meringankan beban kewangan ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan dan sekarang ini sedang dimuktamadkan,” katanya.

Perdana menteri dalam pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan pengenalan Akaun Fleksibel KWSP sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

Untuk tujuan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk memperkasa simpanan persaraan.


Pengarang :