Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Aiman Athirah Sabu. Foto Facebook Berita RTM
AGENDANASIONAL

142,958 warga emas terima bantuan RM500 sebulan demi kelangsungan hidup

SHAH ALAM, 23 OKT: Pelbagai usaha dibuat kerajaan persekutuan bagi meningkatkan kualiti dan kelangsungan hidup warga emas termasuk memberi bantuan bulanan khas.

Timbalan menteri keluarga dan masyarakat berkata keutamaan meliputi Bantuan Warga Emas (BWE) berjumlah RM500 sebulan, yang memanfaatkan 142,958 individu setakat Julai.

Menurut Aiman Athirah Sabu, bantuan penjagaan orang kurang upaya terlantar atau pesakit kornik terlantar turut disediakan dengan kadar RM500 sebulan selain bantuan am.

“Kementerian sentiasa prihatin dalam membantu meningkatkan kualiti hidup warga emas dan menjadikan golongan itu sihat, aktif, positif serta produktif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan berhubung langkah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi meningkatkan kualiti hidup warga emas.

Pada masa sama, Aiman Athirah berkata kerajaan turut menubuhkan 161 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan program khidmat bantu di rumah (KBDR) bagi mereka yang tinggal bersendirian.

Jelasnya, PAWE ditubuhkan mengikut keperluan populasi warga emas di sesuatu kawasan, manakala KBDR pula membantu mengemas rumah, membeli barang keperluan dan urusan temu janji di hospital.

“Kini terdapat seramai 2,225 sukarelawan KBDR yang memberikan perkhidmatan kepada 8,900 klien membabitkan 6,950 warga emas dan 1,950 OKU di seluruh negara,” katanya.

 


Pengarang :