EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim (empat, kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim (tiga,kiri) bergambar bersama selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) di antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Green For Agricultural Manufacturing Sdn Bhd di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 27 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS meterai MoU dengan syarikat Mesir, buka pasaran import eksport

SHAH ALAM, 27 OKT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) maju setapak lagi apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat pembekal makanan dari Mesir.

EXCO Industri Asas Tani berkata kerjasama itu bakal membuka pasaran import dan eksport makanan kering serta buah-buahan selain perkongsian teknologi pertanian.

“Pada peringkat permulaan, tumpuan kita adalah buah-buahan. Setakat ini kita sudah buat pembelian bernilai RM50,000 untuk buah delima yang terkenal di Mesir dan keledek manis.

“Program ini antara inisiatif PKPS, dan selepas ini ada lagi kerjasama bersama syarikat dalam dan luar negara untuk perkukuhkan lagi keterjaminan makanan di Selangor,” kata Ir Izham Hashim.

Terdahulu, Izham dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim menyaksikan pemeteraian MoU antara PKPS dan syarikat Greenery For Agricultural Manufacturing Sdn Bhd (Greenery) di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

PKPS diwakili ketua pegawai eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, manakala Greenery diwakili pengarah urusannya Elsayed Mohamed Abdelgawwad Elnaggar.

Antara produk pertanian dari Mesir yang akan dijual di rangkaian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan trak Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Izham menambah, orang ramai berpeluang merasai produk makanan Mesir di semua rangkaian outlet PKPS dan trak Jualan Ehsan Rahmah (JER) bermula esok.

Jelasnya, semua hasil pertanian negeri Timur Tengah itu akan dijual pada harga mampu milik bagi memberi peluang rakyat menikmati buah-buahan berkhasiat tinggi.

“Kita jangka ada lagi produk pertanian lain dari Mesir yang akan dijual. Sebagai contoh, buah delima ini akan dijual tiga biji di dalam satu pek pada harga RM10 supaya lebih ramai boleh beli,” katanya.


Pengarang :