Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar bersama para penderma pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Seri Perdana pada 19 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM tegaskan Malaysia teguh bersama Palestin walau upaya terhad

PUTRAJAYA, 19 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sokongan negara ini yang tidak berbelah bagi kepada Palestin hari ini dan berkata Malaysia akan menumpukan kepada bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Kami akan melakukan apa yang wajar, walaupun dengan keupayaan terhad, untuk membantu saudara kita di Palestin yang menderita,” katanya ketika menyampaikan ucapan di kutipan sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di sini hari ini.

Kami sudah pastinya bekerjasama untuk menyokong dan kekal konsisten dalam pendirian kami untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin. Buat masa ini, saya fikir tumpuan kami (Malaysia) terutamanya bantuan kemanusiaan,” katanya.

Pertempuran di Palestin antara Hamas yang merupakan pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan cedera di kedua-dua belah pihak.

Anwar berkata Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara Arab yang berjiran dengan Palestin, kerana mereka boleh memainkan peranan penting membantu rakyat Palestin.

Beliau juga berkata seluruh dunia tidak boleh membiarkan keseluruhan Gaza diduduki sementara jutaan manusia diusir keluar.

Anwar berkata beliau akan berlepas ke Riyadh, Arab Saudi untuk bertemu pemimpin Arab bagi membincangkan krisis Palestin-Israel.

Semalam. Bernama melaporkan keganasan tentera Israel terhadap warga Palestin di Gaza adalah antara agenda utama yang akan dibincangkan oleh pemimpin-pemimpin dalam Sidang Kemuncak Pertama ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Arab Saudi pada Jumaat.

Perbincangan itu selari dengan pendirian tegas Malaysia dan kelantangan sokongan Anwar untuk Palestin berikutan peningkatan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin termasuk serangan terbaharu dan pertempuran di Semenanjung Gaza.

– BERNAMA


Pengarang :