Pengujung memenuhi reruai Malaysia ketika Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) di Pusat Konvensyen Pameran Indonesia (ICE) BSD City, Jakarta pada 27 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PPAS batal sertai pesta buku terbesar, bantah isu Palestin

SHAH ALAM, 18 OKT: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023 yang dijadual berlangsung hari ini hingga 22 Oktober.

Menurut perbadanan itu, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira kenyataan rasmi daripada penganjur mengenai konflik Israel-Palestin.

“Pesta buku sepatutnya menjadi medan berkecuali dan tidak condong kepada mana-mana agenda politik tetapi sebaliknya perlu menyuburkan kesatuan dan keadilan dalam ekosistem industri buku,” kata PPAS.

Kenyataan ini yang disiarkan di Facebook dibuat selepas beberapa hari Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil tindakan sama untuk membatalkan penyertaan di pesta buku berkenaan.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan menarik diri daripada menyertai pesta buku berkenaan selepas penganjur menyatakan sokongan terbuka terhadap Israel.

Menterinya Fadhlina Sidek bekata kementerian tidak akan sesekali bertolak ansur terhadap keganasan Israel yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

Penduduk Palestin yang cedera dibantu selepas serangan udara Israel di Hospital Al-Ahli, Semenanjung Gaza pada 17 Oktober 2023. Foto REUTERS

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengecam tindakan Israel yang menyerang Semenanjung Gaza termasuk hospital dengan menyifatkannya keterlaluan dan tiada perikemanusiaan.

Kesal dengan tindakan itu, beliau memaklumkan akan berjumpa Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mahkota Mohammed bin Salman Al-Saud dalam masa terdekat bagi membincangkan konflik tersebut.

Menurut portal Al Jazeera, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan sekurang-kurangnya 3,000 rakyat termasuk lebih 1,000 kanak-kanak terkorban dan lebih 12,500 cedera akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesta Buku Frankfurt juga menangguhkan anugerah kepada Adania Shibly, pengarang novel Minor Detail yang mengisahkan kekejaman tentera Zionis ketika pencerobohan Palestin pada 1949.

Lebih 600 pengarang termasuk pemenang anugerah Hadiah Nobel sastera seperti Abdulrazak Gurnah, Annie Ernaux dan Olga Tokarczuk membantah penundaan tersebut. Turut menyatakan bantahan, pemenang Hadiah Booker seperti Anne Enright, Richard Flanagan dan Ian McEwan.

Namun penganjurnya Litprom, yang dibiaya kerajaan Jerman dan pengendali anugerah tersebut, menyatakan solidariti dengan Israel dalam konflik terbaharu.

Selain Malaysia, penerbit Indonesia dan negara-negara Arab dilaporkan menarik diri daripada pameran itu.

Ketika membentang Belanjawan 2024 minggu lalu, perdana menteri mengumumkan bantuan RM100 juta dari Malaysia yang akan dikutip termasuk dari syarikat milik kerajaan dan swasta.

Bagi menyelaras dana di peringkat negeri pula, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan Tabung Kemanusiaan Palestin yang dikumpul dari seluruh masjid dan surau.

Orang awam boleh menyumbang melalui akaun Maybank Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor, bawah kendalian Jais, bernombor 5621 0671 8620 dengan menyatakan rujukan penerima Pray For Gaza.


Pengarang :