Kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menunjukkan cara penggunaan PriceCatcher kepada orang ramai di Program Jualan Keluarga Malaysia di Kangar, Perlis pada 4 Disember 2021. Foto Facebook PriceCatcher
AGENDANASIONAL

PriceCatcher bantu rakyat bijak belanja, depani kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Aplikasi PriceCatcher yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 2017 menjadi medium untuk rakyat lebih bijak berbelanja dalam mendepani peningkatan harga barangan pada masa ini.

Pengarah Bahagian Harga Barangan Negara KPDN Selvi Shanmugam berkata menerusi aplikasi itu pengguna boleh merancang perbelanjaan harian dengan membuat perbandingan harga 480 barangan melibatkan kategori barangan segar, kering, berbungkus/tin/pek/kotak/botol, susu dan barangan bayi, produk kebersihan serta minuman antara premis-premis di lokasi berdekatan pada harga berpatutan.

“Aplikasi ini memberikan pengguna pilihan untuk berbelanja di premis telah disenaraikan berdasarkan barangan dipilih oleh pengguna. Selain itu, pengguna boleh menyemak dan membuat perbandingan harga terlebih dahulu dan mengenal pasti premis menawarkan harga lebih murah sebelum ke premis untuk membuat pembelian.

“Pengguna juga boleh mengetahui anggaran jumlah kos perbelanjaan melalui 10 item pilihan yang dimasukkan ke dalam ‘Bakul Saya’. Semua pengguna sesuai menggunakan aplikasi ini terutamanya pengguna yang ingin mendapatkan penjimatan dalam perbelanjaan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata aplikasi PriceCatcher yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery itu mempunyai banyak fungsi menarik antaranya membuat carian mengikut item, carian berdasarkan kategori barangan dan carian berdasarkan lokasi.

Menurut Selvi, aplikasi PriceCatcher akan memaparkan harga bagi premis berdasarkan kedudukan semasa pengguna dengan 10 kilometer (km) radius bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala 20km bagi Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata KPDN menjalankan pemantauan di 1,500 premis melibatkan pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit untuk dimuat naik dalam paparan di aplikasi PriceCatcher.

Harga yang dipaparkan bagi kategori barangan segar dan barangan kering melibatkan pasar basah, pasar raya besar dan pasar raya itu akan dikemas kini setiap hari kecuali cuti umum, manakala barangan berbungkus dan susu serta barangan bayi dikemas kini pada setiap minggu, katanya.

“Bagi produk kebersihan dan minuman pula, ia akan dikemas kini setiap bulan. Premis pasar mini dan kedai runcit termasuk dalam pemantauan mingguan dan bulanan. Masa kemas kini harga bagi premis pasar basah adalah sebelum 9.30 pagi, manakala bagi pasar raya besar dan pasar raya sebelum 12 tengah hari,” katanya.

Bagaimanapun, Selvi menjelaskan harga barangan yang dipaparkan dalam PriceCatcher adalah harga pada waktu sebenar (real-time) di premis berkaitan semasa pemantauan dilaksanakan oleh Pengawai Pemantau Harga (PPH) KPDN.

“Bagaimanapun, harga itu tertakluk kepada sebarang perubahan dilakukan oleh pihak penjual kerana perkara berkenaan adalah di luar kawalan kementerian,” katanya.

Sebarang maklumat berhubung salah laku oleh peniaga, aduan atau sebagainya boleh dikemukakan oleh pengguna aplikasi PriceCatcher kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-279 4317 dan 019-848 8000, pusat panggilan atau hotline di 1-800-886-800, portal e-aduan.kpdn.gov.my, emel ke [email protected] dan di aplikasi Ez ADU KPDN.

Untuk rekod, aplikasi berkenaan yang telah dimuat turun 315,789 pengguna setakat ini mempunyai kadar pelawat harian sebanyak 2,000 orang.

-BERNAMA

 


Pengarang :