Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Balairaya Taman Cheras Utama, Kajang pada 3 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Program jualan murah diteruskan tahun depan, tumpu musim perayaan

SHAH ALAM, 31 OKT: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan tahun depan, dengan tumpuan penganjuran ketika musim perayaan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pentadbiran negeri meluluskan RM10 juta bagi meneruskan jualan murah untuk meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Memanfaatkan sekitar lima juta penduduk setakat ini, beliau menjelaskan program akan ditambah baik seperti menambah produk sayur-sayuran dan buah-buahan selain makanan sejuk beku seperti udang.

“Selain penganjuran masih dikekalkan di peringkat Dewan Undangan Negeri, kita juga akan perbanyakkan ketika musim perayaan utama,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah harga barangan yang ditawarkan dalam jualan tersebut juga dikekalkan terutama ayam meskipun subsidi harga produk itu ditamatkan berkuat kuasa esok.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal(RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Berikutan sambutan menggalakkan sejak September tahun lepas, program tersebut diperluas ke 1,200 lokasi mulai Januari lalu supaya lebih ramai mendapat manfaat.

Inisiatif itu turut melayakkan PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :