Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ketika sesi penerangan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen pada 9 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Projek bina benteng, kawal hakisan pantai sekitar Kuala Langat bermula tahun depan

SHAH ALAM, 10 OKT: Projek membina dan menaik taraf benteng serta kawalan hakisan bagi fenomena air pasang besar beberapa pantai sekitar daerah Kuala Langat dijangka bermula awal tahun depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek dengan anggaran kos RM47.7 juta itu membabitkan Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Cunang, Pantai Tanjung Sepat dan Pantai Pulau Carey.

“Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan projek ini yang dijangka tender bulan ini dan kerja fizikal dijangka bermula awal 2024.

“Ia dalam proses pra pembinaan dan skop utama projek ini adalah membina dan menaik taraf benteng pantai sebagai perlindungan kepada 55,000 penduduk di Pantai Barat Semenanjung di kawasan Kuala Langat daripada risiko banjir pantai dan juga limpahan air masin,” katanya.

Beliau menjawb soalan Ahli Parlimen Kuala Langat Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang ingin tahu mengenai perancangan kerajaan untuk menggunakan kaedah baru bagi mengatasi masalah berkaitan di Dewan Rakyat hari ini.

Nik Nazmi berkata penanaman tumbuhan pantai seperti pokok bakau turut menjadi salah satu kaedah untuk mengukuhkan pantai dan mengurangkan hakisan.

“Sehingga 15 September lalu, seluas 3,300 hektar kawasan pesisiran pantai di seluruh negara telah ditanam dengan lebih tujuh juta pokok bakau dan spesies pantai yang sesuai dan ini dipanggil infrastruktur hijau.

“Di Selangor sahaja ia meliputi hampir sebanyak 210 hektar dan lebih 500,000 pokok,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut melaksanakan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) iaitu tindakan jangka panjang bukan struktur yang digubal lebih spesifik mengambil kira faktor tempatan di pesisir pantai bagi mengawal hakisan secara lestari dan mengurangkan risiko banjir pantai.


Pengarang :