Pemain Sijangkang City mengasak pemain NPNG Damansara Perdana (kiri) dalam perlawanan kumpulan B Liga Juara Selangor 2023 di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 7 Oktober 2023. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

SCL 2023: KKB Brotherhood, Klang Frenz United FC kekal kemenangan

SHAH ALAM, 10 OKT: KKB Brotherhood dan Klang Frenz United FC terus mempamer aksi cemerlang selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan kumpulan A Liga Juara Selangor (SCL 2023).

Jaringan tunggal Syakir Fahmi pada minit ke-59 membantu KKB Brotherhood menewaskan pasukan tangga tercorot Ingress FC 1-0 di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 8 Oktober.

Keputusan sama turut dilakar Klang Frenz United FC yang mengecewakan Kg Bharu Boss FC menerusi gol tunggal Hafifi Mat pada minit ke-57.

Hasrat Gombak FA untuk mencatat kemenangan kedua disekat Kru Port Klang selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1. Faes Hafize membuka jaringan pada minit ke-24 buat Gombak FA diikuti gol penyamaan Azhari Hamzah pada penghujung permainan.

Sementara itu, Tebuan Kg Pinang dan Ampang Ukay Positive terpaksa berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Aksi kumpulan B menyaksikan AAK FC Puncak Alam mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Najmi SFFC Kota Damansara menerusi dua jaringan Naufal Akif pada minit ke-15 dan 16 serta Irfan Bustamam.

Gol Izzul Danish pada minit ke-64 membantu MBSA FC meraih tiga mata berharga menewaskan Kajang Northern Merbau FC 2-1 selepas mendahului lawan seawal minit kelima hasil jaringan Irfan Haziq.

Dua lagi pasukan PJ Kelana United FC dan NPNG Damansara Perdana turut berjaya mengutip mata penuh menewaskan lawan masing-masing 2-0 pada 7 Oktober.


Pengarang :