BUDAYARENCANA

Segala yang tak nampak di mata

Oleh Shield Sahran
Daripada mana datangnya kecewa? Daripada sesuatu atau seseorang yang kita anggap istimewa. Aku melangkah ke arah tong sampah lalu kubuka penutupnya. Ada sampah yang diikat kemas. Ada juga sampah yang terburai. Semua itu pernah istimewa, sebelum dibakulsampahkan. Bau yang menyengat hidungku, aku balas sapaan dengan senyuman.
Setiap hari seperti yang dijadualkan, aku keluar bekerja. Aku pengutip sampah. Aku pandai menguruskan sampah dan aku berbangga dengan kemahiranku. Hanya satu sampah saja yang mungkin tak mampu aku uruskan dengan baik iaitu;
“Adi, aku dah putus dengan kekasih aku. Aku dah buang dia dari hidup aku. Tapi dia masih datang mengganggu.”
“Maaf Man, aku tak pandai urus manusia yang kaubuang daripada hidup kau. Aku cuma pandai urus sampah yang dibuang dalam tong.”
Biasanya, untuk rakan-rakanku yang putus cinta aku katakan kepada mereka, buanglah mantan kekasih mereka ke dalam kategori non-organik iaitu tidak dapat dikitar semula. Seperti yang aku katakan, aku pandai menguruskan sampah. Maka, nasihatku juga kedengaran seperti pekerjaanku.
Rutin harianku sebagai pengutip sampah mungkin terletak di bahagian hierarki bawah dalam pilihan kerjaya. Tapi melalui kerja ini juga secara murninya aku dapat menghidu bauan manusia yang sebenar. Ada yang wangi hatinya, ada yang busuk hatinya. Apakah aku pernah mendengar cemuhan orang yang marah sampahnya tak dikutip? Oh, itu seperti nyanyian di telingaku. Itu bermaksud, orang seperti kami sangat diperlukan. Apabila rakan sekerjaku berputus asa dan merasakan pekerja seperti kami tak dihargai, aku tahu aku takkan dapat menyembuhkan rasa kecewanya. Maka aku hanya dapat memberikan kata-kata,
“Esok pasti lebih baik.”
“Macam mana kalau esok masih tak baik?”
“Kau sebut lagi – esok pasti lebih baik. Sebab, mungkin esok lebih baik daripada semalam. Pada titik tertentu dalam hidup, esok pasti lebih baik.”
Sebagai pengutip sampah profesional, aku rasa aku cukup kenal setiap lorong kediaman yang biasa aku kunjungi. Aku tahu ada keluarga sembunyikan ‘sampah’ di dalam rumah. Ada keluarga mendedahkan ‘sampah’ di luar rumah. Tapi seperti yang aku katakan tadi, aku profesional. Aku datang untuk mengutip sampah mengikut jadual. Bukannya mengutip sampah masalah untuk dijaja ke tempat lain. Bagi aku, mereka yang suka mengutip sampah masalah orang dan kemudian dijaja sana sini adalah golongan yang lebih busuk daripada sampah. Jangan sesekali samakan aku dengan orang seperti ini.
Apakah aku tak pernah ditanya soalan – sampai bila aku mahu bekerja mengutip sampah di rumah orang? Pernah. Pekerjaan seperti ini pasti akan ditanya, bila nak berhenti dan cari kerja lain. Tak ada pula orang bertanya pada doktor, bila nak berhenti dan cari kerja lain. Jujurlah, manusia takkan pernah lari daripada menghakimi. Tak perlu masuk belajar ambil jurusan undang-undang untuk menjadi seorang hakim. Bakat menghakimi itu sangat semula jadi. Sedangkan sisa di hospital juga perlukan pengutip sampah untuk menguruskannya. Jadi, aku tak suka membahaskan isu pilihan kerja ini secara panjang lebar. Aku percaya pada rezeki, maka aku akan mengatakan dengan santai:
“Kau tahu, mungkin itu sampah di mata kau. Tapi, harta di mata orang lain.”
Sekarang zaman kitar semula. Aku seorang pengutip sampah profesional, aku dapat membezakan sampah yang berharga dan sebaliknya. Tak semua orang punya ilmu sedemikian, mereka lebih suka membuang sampah sembarangan, bakar sampah dan melaungkan slogan ‘selamatkan bumi’. Bumi yang mana mahu mereka selamatkan sebenarnya?
Selama bekerja mengutip sampah dari rumah ke rumah, aku punya kebiasaan membawa kucingku sekali kerana aku tak sampai hati membiarkannya sendirian di rumah. Rakan sekerjaku ada masanya kurang senang aku membawa kucingku ikut bekerja. Tapi aku juga lelah menghadapi kerenah manusia. Aku fikir paling tidak, untuk mendapatkan kewarasan, biarlah aku membawa kucingku sekali sebagai peneman. Yang menariknya, sesiapa yang melihat pasti akan bertanya,
“Bawa kucing sekali ke pergi kerja?”
“Ya. Kucing saya tak mesra jiran. Lebih baik saya bawa sekali supaya tak ganggu jiran.”
“Oh, betul ke?” Kemudian, kucingku akan disentuh, dibelai-belai dan diberi makanan percuma. Biasanya, selepas bermain-main dengan kucingku, mereka pasti berkata, “Eh, elok je kucing awak dengan saya ni. Mesra, tak garang pun.”
“Wah, kucing saya jarang biarkan orang asing pegang dia sesuka hati. Nampaknya, dia sukakan awak.”
Setiap kali aku berkata demikian, mereka yang bermain dengan kucingku pasti tersenyum dan senyuman itu melekat di wajah mereka sehinggalah aku pergi meninggalkan perkarangan rumah mereka bersama sampah yang aku angkut ke dalam lori. Manakala, rakan sekerja aku pasti akan berkata:
“Kucing kau memang baik dengan semua orang. Kenapa kau suka buat orang rasa diri dia istimewa lepas bermain dengan kucing kau?”
“Sebab, semua orang istimewa. Kadang-kadang manusia perlukan kata-kata yang baik untuk menjadi manusia yang lebih baik.”
“Adi, kita ni kerja kutip sampah. Tak perlulah kau nak kutip rasa sedih orang. Kita pun ada kesedihan kita juga.”
“Kita dah nampak banyak jenis sampah, Kemal. Tapi sampah yang selalu manusia simpan ialah kesedihan. Lama-lama, kesedihan tu bertukar jadi racun. Aku lebih rela kutip sedih daripada kutip racun.”
Biasanya, bila aku berkata demikian, rakan sekerjaku akan mencemik dan mengatakan aku salah pilih kerjaya. Tidak, aku tak rasa aku salah pilih kerja. Semua orang, tak kira apa pekerjaan sekalipun atau apa tarafnya dalam hierarki sosial, tidak ada salahnya kita berbuat baik. Kadang-kadang, aku rasa label sampah masyarakat tercipta daripada pengabaian masyarakat juga terhadap golongan yang meminta pertolongan. Aku fikir, manusia narsis paling wajar dibuang ke dalam tong sampah.
Andai aku boleh tulis cerita ini dan kau, sesiapa saja yang aku tak kenal, membaca apa yang aku tulis, sejujurnya, setiap kali aku pulang ke rumah dalam keadaan sangat lelah, aku melepaskan kucingku ke ruang tamu dan aku menyandar sendirian di kerusi. Kurenung siling sambil memikirkan segala cita-citaku yang tak kesampaian serta apa yang tak kurancang dalam hidup pula menjadi tempat aku berpaut dan berharap. Benar, kita takkan pernah lagi menemui kebahagiaan setara dengan kebahagiaan zaman kanak-kanak kita. Tapi sering kali kita terlepas pandang. Segala yang tak nampak di mata ialah hal-hal yang sederhana. Yang mencukupkan dan menjadi alasan untuk hidup sebagai manusia yang benar-benar manusia.
TAMAT

Pengarang :