KUALA LUMPUR, 19 OKT: Dato’ Menteri Besar mewakili rakyat Selangor mengutuk keras kekejaman dan keganasan dilakukan rejim Israel terhadap bumi Palestin.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu bukan hanya ungkapan sebaliknya warga negeri bersolidariti dengan semua pihak yang menegakkan keamanan serta keadilan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/P-SIBS-3-500x333.jpg.webp)
“Selangor membantah serangan dilakukan ke hospital, rumah, pusat ibadah. Serangan tidak bertanggungjawab ini menghapuskan berjuta-juta golongan lemah iaitu wanita, kanak-kanak dan orang tua,” katanya.
Beliau memulakan ucapan berkenaan ketika merasmikan Sidang Kemuncak Niaga Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Setakat 16 Oktober, portal stesen televisyen Al Jazeera melaporkan 6,000 bom dijatuhkan dalam tempoh seminggu yang menyebabkan hampir 65,000 unit kediaman musnah dan sejuta warga Palestin hilang tempat berlindung.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/Picture5-2-500x334.png.webp)
Seramai 2,808 rakyat Palestin di Gaza terkorban dengan 1,030 daripadanya adalah kanak-kanak sementara 10,859 individu lagi cedera.
Pada Jun 2021, Kerajaan Selangor menerusi Global Peace Mission (GPM) menyumbang dana hampir RM1 juta menyediakan ambulans bagi membantu urusan menyelamat penduduk Palestin.