Keadaan bangunan di semenanjung Gaza yang musnah susulan serangan udara tentera Israel pada 8 Oktober 2023. Foto ihsan Global Peace Mission Malaysia
AGENDABERITA UTAMANASIONALRENCANAWAWANCARA

Selangor sedia dana, tubuh tabung kemanusiaan bantu Palestin

SHAH ALAM, 19 OKT: Beberapa hari selepas serangan balas rejim Israel pada 7 Oktober, tular sekeping gambar trak merah bantuan Global Peace Mission (GPM) ketika penduduk Gaza mencari mangsa runtuhan bangunan.

Selain ambulans, tiga kenderaan disediakan badan sukarelawan Malaysia itu dengan bantuan dana hampir RM1 juta yang dikutip Kerajaan Negeri pada 2021 sewaktu Palestin dibom rejim Zionis.

Ketua pegawai eksekutif GPM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin mengesahkan kenderaan itu, dikenali kereta pertahanan awam, namun beliau tidak dapat memastikan lokasi dan tarikh kejadian.

“Trak ini macam jentera bomba di Malaysia, ada peralatan untuk membantu mangsa runtuhan,” katanya, dengan menjelaskan GPM menerima foto pada 9 Oktober.

Penduduk Palestin yang cedera dibantu selepas serangan udara Israel di Hospital Al-Ahli, Semenanjung Gaza pada 17 Oktober 2023. Foto REUTERS

Setakat 16 Oktober, portal stesen televisyen Al Jazeera melaporkan 6,000 bom dijatuhkan dalam tempoh seminggu yang menyebabkan hampir 65,000 unit kediaman musnah dan sejuta warga Palestin hilang tempat berlindung.

Seramai 2,808 rakyat Palestin di Gaza terkorban. Daripada jumlah itu, 1,030 adalah kanak-kanak. Sementara 10,859 individu lagi cedera.

Ahmad Fahmi bagaimanapun menjelaskan kenderaan dan ambulans yang mula digunakan sejak dua tahun lepas harus diletakkan dalam kawasan selamat kerana dibimbangi menjadi sasaran serangan bom Israel.

Pada Jun 2021, melalui GPM, Kerajaan Selangor menyumbang dana bagi menyediakan empat kenderaan tersebut, bahan bakar, set penjana elektrik, ubatan dan makanan bagi meringankan beban penduduk Palestin.

Serangan mengejut Gerakan Penentangan Islam (Hamas) pada 7 Oktober melibatkan pelancaran 5,000 bom roket dan penyusupan melalui darat, laut dan udara.

Ia dilancar sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan tentera Israel di Masjid al-Aqsa dan juga rampasan tanah warga Palestin yang semakin meningkat.


Kanak-kanak diberi rawatan selepas Israel mengebom Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada 17 Oktober 2023. Foto Reuters

Ketika membentang belanjawan negara pada 13 Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan RM100 juta yang akan dikutip termasuk dari syarikat milik kerajaan dan swasta.

Bagi menyelaras dana di peringkat negeri pula, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan Tabung Kemanusiaan Palestin yang dikumpul dari seluruh masjid dan surau.

Orang awam boleh menyumbang ke tabung ini melalui akaun Maybank Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari), bawah kendalian Jais, bernombor 5621 0671 8620 dengan menyatakan rujukan penerima Pray For Gaza.


Pengarang :