SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Selangor menyalurkan sumbang sejumlah RM1 juta ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat Palestin.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu juga diharap menjadi sebahagian usaha kolektif masyarakat dan negara seluruh dunia bagi mengangkat prinsip keadilan dan menentang keganasan.
“Sejak 9 Oktober, kesengsaraan yang menjadi angkara rejim yang ingin melenyapkan populasi yang tidak mampu mempertahankan diri serta melanggar undang-undang antarabangsa.
“Tindakan yang korup dari segi prinsip dan moral ini telah menyebabkan sehingga 4,000 nyawa rakyat Palestin terkorban sehingga hari ini.
“Pada ketika ini, seluruh komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk mengetepikan segala perbezaan, menyokong gencatan serangan, dan memberikan laluan supaya bantuan kemanusiaan dapat disegerakan secara selamat ke Semenanjung Gaza kepada mangsa terutamanya wanita, kanak-kanak, dan warga emas,” katanya.
Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.
Setakat 12 Oktober lalu, lebih 1,100 penduduk Palestin terbunuh, manakala lebih 338,000 orang di Semenanjung Gaza terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran beribu-ribu kediaman, institusi awam dan infrastruktur telah dimusnahkan oleh Israel.