Kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset yang dilaksanakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Senggara aset LRA Sungai Langat bermula ikut jadual, jangka siap 7 malam

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset yang dilaksanakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat bermula seperti dijadualkan, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan memaklumkan kerja-kerja pembaikan bermula jam 9 pagi tadi tersebut dijangka siap pada jam 7 malam ini.

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan dan dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan terjejas pada Khamis jam 12 tengah hari.

“Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” katanya.

Pada masa sama, agensi itu memaklumkan bantuan bekalan air alternatif ke tujuh pusat khidmat setempat (PKS) disediakan untuk kemudahan pengguna.

Maklumat berhubung gangguan bekalan air boleh dicapai menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor atau saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/

Baru-baru ini, Air Selangor memaklumkan berlaku gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat susulan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di LRA Sungai Langat pada hari ini.


Pengarang :