Suasana pada hari terakhir Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang niaga antarabangsa perkukuh jenama Selangor, pintu masuk pasaran ASEAN

SHAH ALAM, 9 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang diperkenal sejak 2016 membantu penjenamaan negeri ini sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai pintu masuk Asean.

EXCO pelaburan berkata acara bertaraf antarabangsa itu mencerminkan kepentingan Selangor kepada  negara selain dapat mengembangkan aktiviti ekonomi menerusi penjanaan rantaian bekalan.

“Transaksi nilai urus niaga yang dijana SIBS menunjukkan minat pembeli dan pelawat kepada ekspo ini. Ini memberi faedah kepada keseluruhan ekonomi,” kata Ng Sze Han menerusi kenyataan.

Beliau yakin SIBS mampu menarik kehadiran peserta serta nilai pelaburan yang tinggi kerana pelbagai inisiatif mempromosi sidang perniagaan itu telah dilaksanakan.

“Kita gunakan pelbagai saluran media selain aktif mengambil bahagian dalam ekspo antarabangsa sejak tahun lepas selain jelajah serantau Asia Tenggara untuk bertemu komuniti niaga, jabatan serta agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata SIBS 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 19 hingga 22 Oktober ini turut melibatkan bekerjasama dengan agensi persekutuan.

Jelasnya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dijadual menyampaikan ucaptama program tersebut.

Sidang tahunan itu menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.


Pengarang :