Orang ramai menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Selangor induk ekonomi negara, gerbang utama pelaburan asing

Pelbagai program menarik lagi unik dijalankan untuk menggalakkan kehadiran golongan pelabur sekali gus menjadikan Selangor gerbang utama perdagangan di Malaysia.

Berbekal prasarana moden dan kemudahan serba lengkap, negeri ini terus unggul dalam pelbagai sektor seterusnya mengekal kedudukannya sebagai induk ekonomi negara.

Memegang portfolio Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil & Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim giat mempromosi negeri sebagai destinasi pelaburan ulung.

Penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) mulai 2015 antara program yang berjaya membawa dampak positif menerusi kehadiran pelabur tempatan dan luar negara.

Acara berkenaan mencatat nilai transaksi RM182 juta pada tahun itu diikuti RM100 juta (2016), RM204.2 juta (2017), RM194.6 juta (2018) dan melonjak kepada RM447 juta (2019).

Nilainya turun kepada RM1.09 juta pada 2020 berikutan kesan pandemik Covid-19 tetapi kembali melonjak kepada RM217.6 juta dalam penganjuran SIBS secara hibrid pada 2021.

Tahun berikutnya menyaksikan nilai transaksi naik drastik kepada RM1.45 bilion. Ketika itu, 75 peratus daripada 44,342 pelawat adalah golongan perniagaan manakala bakinya orang awam.

Pelawat dari Mycopter Aviation Services tidak melepaskan peluang berswafoto dengan kapal terbang ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang Jaya pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pameran udara

Julung kali diadakan pada 2021, Pameran Udara Selangor (SAS) membuka ruang perniagaan dan rangkaian sektor aeroangkasa dan penerbangan juga pencapaian penting bagi menggamit masyarakat pelabur.

Acara selama tiga hari yang menerima penyertaan 43 peserta tempatan dan antarabangsa dikunjungi 4,987 orang. Selangor satu-satunya negeri yang menganjurkan pameran seumpama itu.

Aneka pesawat diperaga di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang antaranya Embraer, Gokbey, Piaggio Avanti, Beechcraft King Air, Cessna 206 dan Bell 407GX.

Program berkenaan turut menampilkan pemain industri terkenal antaranya Aerodyne Geospatial Sdn Bhd, Turkish Aerospace Industry dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

Hasilnya, sebanyak 12 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara pemain industri tempatan dan antarabangsa dengan nilai tertinggi RM100 juta.

SAS tahun berikutnya menyaksikan kehadiran 10,563 pengunjung selain merekod RM1.174 bilion nilai transaksi manakala 14 MoU pelbagai subsektor industri aeroangkasa ditandatangani.

Bilangan penyertaan turut meningkat kepada 62 peserta pameran dari lima negara yang mewakili industri aeroangkasa dan penerbangan terbaik dunia.

Untuk edisi ketiga SAS pada 7 hingga 9 September tahun ini, Chang Khim menyasarkan pelaburan RM2 bilion melalui kehadiran 12,000 pengunjung dan 50 pempamer.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi SIDEC, Loo Chuan Boon (kanan) memperkenalkan logo Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 12 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selain itu, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) memainkan peranan menjadikan Selangor hab digital serantau dengan merancakkan lagi sektor e-dagang.

Sejak 2015, Sidec menyumbang keseluruhan RM334.7 juta menerusi pelbagai kegiatan e-dagang dan pendigitalan menerusi pelbagai program.

Inisiatif itu antaranya Pitch Malaysia Series USA dan program Pemecut Selangor (SAP), Selangor e-Commerce Onboarding, e-Dagang Pendidikan dan Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM).

Tidak ketinggalan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) yang dianjur sejak beberapa tahun ini.


Pengarang :