Tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuala Kubu Bharu, Rawang pada 26 Oktober 2023. Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor
AGENDAJENAYAH

Tiga maut kemalangan dua kenderaan di Jalan Kuala Kubu Bharu

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Dua lelaki dan seorang wanita maut manakala seorang parah dalam kemalangan dua kereta di Jalan Kuala Kubu Bharu, Rawang berhampiran Serendah Golf Resort dekat sini kira-kira 11 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kemalangan itu membabitkan Perodua Axia dan Toyota Avanza.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang Perodua Axia maut dan seorang lelaki maut manakala seorang wanita parah dalam kenderaan Toyota Avanza.

“Mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala penumpang wanita yang parah dihantar ke Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada 11.06 pagi.

Menurutnya 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu serta Rawang digegaskan ke lokasi kejadian manakala punca kemalangan masih disiasat.

– BERNAMA


Pengarang :