Ahli Dewan Negeri Meru Mariam Abdul Rashid ditemui ketika meninjau perjalanan Jualan Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri Meru di Jalan Sungai Kapar Indah 3, Klang pada 11 Oktober 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Meru rangka pelan jangka pendek atasi banjir

KLANG, 12 OKT: Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru merangka pelan jangka pendek bagi mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

Mariam Abdul Rashid berkata antara rancangan termasuk penyelenggaraan longkang khususnya di kawasan kritikal seperti di Taman Dato Bandar.

“Saya sasar nak selesaikan masalah banjir dan minggu lalu telah bermesyuarat dengan agensi berkaitan. Hasil perbincangan kita cuba selesaikan secara terperinci masalah banjir menerusi penyelesaian jangka pendek.

“Ada sesetengah longkang dipenuhi pokok sehingga menyebabkan air tidak mengalir. Buat masa ini, kita sedang menyenaraikan kawasan-kawasan kritikal yang perlu diberi perhatian dan akan hantar kepada agensi berkaitan untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Berhubung projek tebatan banjir bagi membina empat kolam takungan oleh Kerajaan Persekutuan, Mariam berkata projek itu kini dalam proses lantikan kontraktor.

“Saya difahamkan, kolam tadahan di Sungai Kapar Indah Kecil, Sungai Kapar Indah Besar, Meru dan Jalan Kenangan dalam proses pembukaan tender untuk melantik kontraktor.

“Selain itu, ada beberapa isu perlu diselesaikan terutama pengambilalihan tanah milik individu yang prosesnya juga mengambil masa. Saya percaya masalah banjir akan selesai jika pembinaan kolam tadahan air selesai tahun hadapan,” ujarnya.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Meru dengan peruntukan kos sebanyak RM220 juta.


Pengarang :