AGENDANASIONAL

44 aduan diterima majikan tidak laksana cuti bersalin 98 hari

SHAH ALAM, 22 NOV: Kementerian Sumber Manusia menerima 44 aduan berkaitan majikan yang tidak melaksana peruntukan cuti bersalin 98 hari, setakat 31 Oktober lalu.

Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud berkata daripada jumlah itu, 28 aduan adalah berasas manakala baki 16 aduan tidak berasas.

“Bagi aduan yang berasas, majikan terlibat telah diberikan peringatan dan tindakan pembetulan sudah diambil.

“Semua kes diselesaikan melalui pematuhan majikan dengan pemberian kelayakan tempoh cuti bersalin selama 98 hari kepada pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berhubung pelaksanaan polisi cuti bersalin selama 98 hari di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 7 Jun 2023. Foto BERNAMA

Menurut Mustapha, majikan yang gagal mematuhi polisi berkenaan berdepan tindakan pendakwaan atau kompaun dengan denda maksimum sehingga RM50,000.

Jelasnya, kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung berusaha memastikan semua majikan khususnya sektor swasta mematuhi pindaan ini menerusi pelbagai inisiatif.

“Kami memberi khidmat nasihat, menerbitkan poster perlindungan wanita hamil selain melaksanakan 23,279 pemeriksaan berkanun setakat 31 Oktober lalu,” katanya.

Kerajaan melaksanakan pindaan Akta Kerja 1955 bermula 1 Januari lalu. Antara kandungan pindaan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari dan penetapan cuti paterniti tujuh hari.

Selain itu, pindaan akta itu juga membabitkan pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.


Pengarang :