EXCO Infrastruktur, Pemodenan Pertanian dan Perladangan Ir Izham Hashim menjawab soalan ketika Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

790 lampu LED dipasang seluruh negeri, tumpu lokasi kemalangan

SHAH ALAM, 14 NOV: Hampir RM6 juta dibelanjakan pentadbiran negeri bagi memasang 790 lampu diod pemancar cahaya (LED) di seluruh Selangor, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim menjelaskan proram pencahayaan LED itu tertumpu di lokasi yang tiada punca bekalan kuasa, kawasan yang kerap berlaku kecurian kabel serta kemalangan.

“Pemasangan lampu LED juga tertumpu di simpang terpencil, jambatan dan luar kawasan rintis Tenaga Nasional Berhad dengan purata pemasangan lengkap bagi setiap lampu ialah RM7,565,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdullah Rashid berhubung perkara itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Pada sidang Mac lalu, bekas EXCO Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan Kerajaan Negeri akan membekalkan lebih 1,000 lampu LED berkuasa solar di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menerusi belanjawan tahun ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan RM28 juta bawah inisiatif Projek Selangor Penyayang (PSP) untuk merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keutamaan diberikan kepada penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam termasuk yang tidak mempunyai peruntukan tahunan.

 


Pengarang :