Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 16 NOV: Seramai 800 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sempena sambutan Hari Integriti di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.
Lafaz ikrar itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai kepentingan integriti sebagai penjawat awam, kata pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman.
“Pembudayaan amalan ini mampu melahirkan warga kerja yang lebih efisien, produktif dan beretika serta mampu mewujudkan mekanisme kawalan bagi memastikan peraturan atau dasar dipatuhi.
“MBSA sangat komited untuk memastikan organisasi ini terus melaksanakan tadbir urus yang baik dan tidak akan berkompromi dengan warga kerja yang tidak beretika seterusnya menjejaskan nama baik MBSA,” katanya.
Beliau beruca pada program bertemakan Integriti Pendukung Kekuatan Organisasi. Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Selangor, Dato’ Alias Salim.
Pada majlis sama, Cheremi turut menjelaskan beberapa kes tatatertib kakitangan dilaporkan dilihat kerana sikap terlalu selesa.
“Pihak atasan akan sentiasa memantau namun untuk melihat kesemua 1,700 kakitangan adalah satu perkara mustahil. Namun adalah menjadi lebih baik jika saling mengingati antara kakitangan tidak kira mereka kakitangan tetap atau kontrak.
“Apa yang lebih penting adalah diri kakitangan sendiri untuk melakukan kerja penuh integriti. Jika ini ada di dalam diri mereka, maka kesalahan atau pelanggaran etika kerja tidak akan berlaku,” katanya lagi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/mbsa-1-1-500x375.jpeg.webp)