Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 25 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar ajak telaah Perisytiharan Permatang Pauh 1998, tadbir urus negara dengan baik

PUTRAJAYA, 26 NOV: Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua ahli parti itu untuk kembali menelaah Perisytiharan Permatang Pauh 1998.

Beliau berkata deklarasi yang penuh pengisian murni bersama gerakan reformasi itu seharusnya menjadi rujukan semua pihak bagi memastikan negara terus diurus tadbir dengan baik.

“Saya ingin mengajak pimpinan dan anggota untuk kembali menelaah Perisytiharan Permatang Pauh. Ia merupakan cita kebangsaan yang disulami dengan pelbagai nilai murni.

“Perisytiharan Permatang Pauh adalah khulasah memperbaiki tatakelola dengan menolak rasuah dan kerakusan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 di sini, malam tadi.

Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 25 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Perisytiharan Permatang Pauh yang dimasyurkan pada 12 September 1998 disifatkan sebagai langkah pemula kepada usaha menggerakkan Malaysia menjadi negara yang lebih adil, demokratik dan bermaruah.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru semua perwakilan agar tidak lemah dengan kuasa sebaliknya kembali kepada dasar awal reformasi seperti yang dilaungkan hampir 25 tahun lalu.

Menurutnya, ahli parti juga tidak harus terpukau dengan pangkat dan harta selain menjadikan kepimpinan terdahulu sebagai ikhtibar supaya tidak terjebak kesalahan sama.

“Pimpinan tidak harus terpukau dengan kuasa dan harta. Helah segelintir pimpinan parti terdahulu yang bersama di tampuk kekuasaan pantas tercela, sanggup bersekongkol dengan perasuah zalim dan mengkhianati amanah perjuangan,” katanya.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama perwakilan parti ketika Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 25 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :