Pasukan Witchcraft menjuarai Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor edisi ke-33 selepas mengungguli Kelas 1 di Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi, Kedah pada 25 November 2023. Foto AFIX REDZUAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Witchcraft juara edisi ke-33 Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor

LANGKAWI, 26 NOV: Pasukan Witchcraft dinobat juara Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-33 selepas cemerlang mengungguli lapan saingan Kelas 1 bermula 17 November lalu.

Mengumpul 12 mata, pasukan dikemudi Nick Burns mengatasi The Next Factor di kedudukan kedua dengan 13 mata sekali gus menjulang Piala Raja Muda.

Pasukan Uranus yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketiga dengan 24 mata manakala Aftershock keempat mengumpul 31 mata.

Trimmer pasukan Witchcraft, Peter Flatcher, 63, gembira dengan persembahan semua kru pasukan selepas berjaya menang lima daripada lapan saingan.

Katanya, kejohanan kali ini menyajikan cabaran sengit di setiap peringkat terutama dari segi cuaca dan tiupan angin.

“Ini adalah salah satu kejohanan kapal layar terbaik di dunia. Kami hanya dibezakan empat atau lima mata sahaja (peringkat awal).

“Pelbagai cabaran dari segi cuaca dan angin tetapi kami berjaya menang empat cabaran terakhir dan mengekalkan kedudukan (pendahulu),” katanya.

Peter Flatcher, 63, ditemui di Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor edisi ke-33 di Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi, Kedah pada 25 November 2023. Foto AFIX REDZUAN/SELANGORKINI

Sementara itu, satu lagi pasukan ATM, Marikh menjuarai Kelas 6 selepas mengumpul 11 mata menewaskan Penarik (15 mata), Tofan (22 mata) dan Eveline.

Hadiah disampaikan Pengarah Urusan Kelab Kapal Layar Monaco, Bernard d’Alessandri, diiringi Pengerusi Jawatankuasa Penganjur RMSIR Irsyad Ismail di Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi, Kedah semalam.

Sebanyak 32 kapal layar membabitkan 320 anak kapal dari dalam dan luar negara menyertai kejohanan tahun ini.

Pasukan Marikh mewakili ATM menjuarai Kelas 6 Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor edisi ke-33 di Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi, Kedah pada 25 November 2023. Foto AFIX REDZUAN/SELANGORKINI

Perlumbaan sejauh 260 batu itu bermula dari Pelabuhan Klang dan berakhir di Pulau Langkawi, Kedah.

Untuk tahun ini juga Tourism Selangor dengan kerjasama RMSIR mengadakan FAM Trip Tour di Gamuda Cove, Kuala Langat bagi menggalakkan pelancongan dalam negeri dan negara kepada semua peserta yang menyertai acara ini.

Penganjuran kejohanan juga bertujuan mempromosi kebudayaan, kesenian dan warisan Selangor kepada peserta antarabangsa serta meningkatkan sektor pelancongan negeri.

Dianjurkan sejak 1990, RMSIR merupakan kejohanan kapal layar kedua tertua Asia dan paling sukar di Asia Tenggara.

Ia dicetuskan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Dato’ Johan Ariff dan Jonathon Muhiudeen.


Pengarang :