Tiga daerah di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu dilanda banjir berikutan hujan lebat bermula 18 November 2023. Foto Facebook Jabatan Penerangan Negeri Terengganu
AGENDANASIONAL

Banjir: 34 sekolah ditutup di Terengganu, 25 jadi pusat pemindahan sementara

KUALA TERENGGANU, 22 NOV: Sebanyak 34 sekolah di tiga daerah di Terengganu terpaksa ditutup ekoran situasi banjir gelombang pertama yang melanda negeri ini sejak Isnin lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah) Azman Othman @ Abdullah berkata daripada jumlah itu sebanyak 25 buah sekolah ditutup kerana dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala sembilan lagi ditutup kerana dinaiki air.

“Sekolah yang ditutup di daerah Kuala Terengganu akibat banjir ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman; SK Kampung Bukit Chendering; SK Tok Dir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Malek manakala di Kuala Nerus melibatkan SK Padang Kemunting; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting; SMK Kompleks Mengabang Telipot dan Sekolah Sukan Malaysia.

“Sekolah yang ditutup disebabkan banjir di Setiu pula ialah SK Kampung Besut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Azman sekolah yang ditutup untuk dijadikan PPS di daerah Kuala Terengganu adalah SK Chendering; SK Atas Tol; SK Pasir Panjang; SK Gong Tok Nasek dan SK Rengas Bekah manakala di Dungun sekolah terlibat adalah SK Tok Kah.

“Sembilan sekolah sebagai PPS di Kuala Nerus pula ialah SK Bukit Tunggal; SK Bukit Nanas; SK Teluk Ketapang; SK Tok Jembal; SK Gong Badak; SK Tok Jiring; SK Padang Air; SK Kompleks Gong Badak dan SK Seberang Takir.

“Di Marang tujuh sekolah terlibat iaitu SK Bukit Gasing; SK Rusila; SK Marang; SK Simpang Rawai; SMK Merchang; SMK Seberang Marang dan SMK Seri Payong,” katanya.

Tiga sekolah yang dijadikan PPS di Besut termasuk SK Kuala Besut; SK Kg Nail dan SK Kg Baharu, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :