JBPM Kelantan ketika operasi mencari seorang kanak-kanak lemas dan hilang di Kampung Kenari, Kota Bharu, Kelantan pada 25 November 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Bayi lelaki 18 bulan korban pertama banjir di Kelantan

KOTA BHARU, 26 NOV: Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan menjadi korban pertama banjir di Kelantan kali ini apabila ditemukan lemas di sungai berhampiran rumahnya dekat Kampung Kenari, di sini pada pukul 12.17 tengah hari tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam kenyataan memaklumkan mayat mangsa ditemukan pada pukul 1.40 tengah hari oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang menjalankan operasi mencari di kawasan bayi itu dilaporkan terjatuh.

“Berdasarkan laporan, mangsa dikatakan bermain di belakang rumah sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :