Gambar hiasan
AGENDAJENAYAH

Bayi lelaki ditemukan dalam beg di tepi longkang kedai

IPOH, 26 NOV: Bayi lelaki ditemukan dalam sebuah beg di tepi longkang belakang sebuah kedai di Ayer Tawar dekat Manjung, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu daripada lelaki berusia 45 tahun pada 8.15 malam.

“Bayi lelaki itu dihantar ke Hospital Seri Manjung dan kini berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk rawatan serta pemantauan lanjut oleh hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor mendapati tiada kecederaan luaran dan bayi itu berada dalam keadaan sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Nordin berkata pihaknya giat mengesan suspek dan waris bayi itu.

“Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240391 bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak di bawah umur kurang daripada 12 tahun, mendedahkan serta membuang kanak-kanak itu dengan niat.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :