Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bela kebajikan, lebih 5.8 juta rakyat dilindungi insurans negeri

SHAH ALAM, 21 NOV: Lebih 5.8 juta rakyat negeri ini dilindungi Skim Insurans Am Selangor (INSAN) jika mereka terlibat kemalangan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM9 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan Skim INSAN Takaful manakala RM12 juta pula bagi Skim INSAN Konvensional.

“Setakat 30 September 2023, sebanyak 5,879,600 individu terlibat dalam prapendaftaran. Dari angka ini, 3.4 juta melalui daftar program mengundi, selebihnya 900,834 melalui ‘blanket coverage’ (liputan perlindungan) pelajar sekolah berumur 7 hingga 9 tahun yang diuruskan bersama Jabatan Pendaftaran Negeri Selangor.

“Juga 750,000 menerusi ‘blanket coverage’ untuk kanak-kanak berusia 30 hingga 60 hari diuruskan bersama Jabatan Pendaftaran Negara. 760,430 adalah ‘blanket coverage’ yang memenuhi syarat kelayakan melalui data dan maklumat kita perolehi.

“Pendaftaran secara sukarela sebanyak 2,300 dari pusat penyelaras khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen serta 118,078 didaftar melalui aplikasi e-dompet Wavpay,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Taman Medan Dr Afif Bahardin yang ingin mengetahui jumlah pendaftaran Skim INSAN dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri berhasrat meluaskan pendaftaran insurans kepada 6 juta rakyat agar kebajikan mereka terus terbela.

“Kerajaan Negeri akan melaksanakan promosi yang lebih berkesan dan pendaftaran lebih menyeluruh di pelbagai lokasi.

Kaedah ini untuk memenuhi hasrat Kerajaan Negeri melindungi rakyat sebaik mungkin kerana mengikut pengalaman pandemik, ramai rakyat tidak dilindungi sistem insurans yang berkesan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) menyampaikan cek cura kepada waris pencarum ketika melancarkan Insan Takaful sempena majlis perasmian Tekad Insani #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Norita Mohd Sidek (tiga, kiri). Foto AHMADZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :