Ketua Pegawai Operasi MBI Saipolyazan M Yusop (dua, kanan) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyampaikan pampasan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) kepada waris di Batu Arang, Rawang pada 3 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Waris pelajar UiTM terima pampasan insurans negeri

RAWANG, 3 OKT: Waris kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana yang maut akibat kemalangan motosikal pada Ogos lalu, menerima pampasan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Pampasan berjumlah RM11,000 disampaikan Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop kepada ibu mangsa, Eeliani Noordin di kediamannya di Batu Arang hari ini.

Saipolyazan berkata arwah berdaftar di bawah INSAN dan layak menerima pampasan sebanyak RM10,000 selain khairat kematian RM1,000.

“Menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan enam juta rakyatnya dilindungi insurans. Apabila berlaku bencana atau kemalangan, sekurang-kurangnya ada pampasan dan mengurangkan beban keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof Madya Dr Badrul Isa berkata pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mewujudkan skim insurans untuk rakyat.

“Insya-Allah kita akan memperluaskan maklumat kepada mahasiswa atau anak Selangor supaya cakna dengan inisiatif dibuat Kerajaan Negeri yang diwujud demi menjaga kepentingan mereka serta waris,” katanya.

Skim INSAN diperkenal tahun lalu bagi melindungi semua penduduk negeri ini seawal usia 30 hari hingga 80 tahun dengan kos premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Madya Dr Badrul Isa. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dengan nilai perlindungan RM60 bilion, skim tersebut memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pada 4 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar melancarkan Skim INSAN patuh syariah dikenali Skim INSAN Takaful bermula yang bakal memanfaatkan tiga juta penduduk beragama Islam di Selangor.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, rakyat Selangor mendapat perlindungan sehingga RM10,000 manakala waris menerima RM1,000 jika berlaku kematian.

Skim ini juga turut menawarkan perlindungan RM20,000 bagi kes kemalangan di luar negara dan tuntutan RM50 sehari jika dimasukkan ke hospital.

Pendaftaran dibuat melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Untuk maklumat lanjut, layari programinsan.com.


Pengarang :