Suasana sekitar Konvokesyen Univerisiti Selangor (Unisel) ke-17 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto Facebook Unisel
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanjawan perkasa institusi pengajian negeri, tumpu pembangunan mahasiswa

SHAH ALAM, 12 NOV: Inti pati Belanjawan Selangor 2024 yang mencakupi segenap aspek pendidikan termasuk pembangunan mahasiswa akan memperkasa keupayaan Universiti Selangor (Unisel) menyumbang pembinaan modal insan.

Naib presiden dan timbalan naib canselor (pembangunan pelajar dan jaringan komuniti) Unisel berkata usaha berkesinambungan ini sangat diperlukan bagi memastikan institusi pengajian itu berupaya menyumbang kepada bidang paksi penting.

“Bidang paksi penting termasuk pendidikan awal kanak-kanak, pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL), psikologi, sains kesihatan, pengurusan selain bidang tumpuan sedia ada iaitu sains dan teknologi.

“Terima kasih dan penghargaan buat Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari atas Belanjawan Selangor 2024 yang ternyata turut memberi tumpuan kepada Unisel terutama terhadap fokus pembangunan mahasiswa.

“Peruntukan projek naik taraf, jaringan bersama industri, baucar buku, Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU), biasiswa dan lain-lain tentunya amat baik dan sangat membantu selaras usaha Unisel dalam proses transformasi sejak 2016,” kata Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh.

Mengulas lanjut katanya diharap Unisel turut dilibatkan dalam membantu Kerajaan Negeri menerusi penyelidikan dan aktiviti jaringan komuniti.

“Unisel mampu memberi sumbangan lebih besar menerusi penyelidikan dan aktiviti jaringan komuniti yang kemudiannya pasti memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri.

“Ia termasuk bidang penting manusiawi seperti warisan sejarah Selangor, perpaduan pembangunan belia, Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, kesukarelawanan dan lain-lain menjadi kekuatan Unisel,” katanya.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 Jumaat lalu menyentuh usaha pemerkasaan institusi pengajian tinggi di bawah Kerajaan Negeri iaitu Unisel, Universiti Islam Selangor (UIS) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) merangkumi aspek pentadbiran, pembangunan kapabiliti, kompetensi tenaga pengajar selain fasiliti pengajaran serta pembelajaran mahasiswa.

Ia termasuk peruntukan RM9 juta bagi projek naik taraf, membaik pulih dan menambah baik infrastruktur ketiga-tiga institusi itu bagi memastikan mahasiswa mendapat persekitaran yang kondusif sepanjang tempoh pengajian mereka.

Selain itu ke arah mengukuhkan usaha Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Selangor terutama program TVET bernilai tinggi, menjelang 2025 Unisel akan distruktur semula menjadi Universiti Industri Selangor yang akan memfokuskan sepenuhnya kepada latihan teknikal dan vokasional dengan mewujudkan kerjasama strategik dengan industri.


Pengarang :