Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Belanjawan Selangor 2024: Garis panduan manfaat rawatan hospital dirangka, elak tiris

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan memperinci manfaat rawatan hospital yang diumum dalam Belanjawan Selangor 2024 merangkumi sasaran penerima, jenis, jumlah kos serta senarai hospital panel.

Ahli Penasihat Kesihatan Awam Negeri Dr Mohammad Farhan Rusli berkata garis panduan itu bagi mengelak ketirisan sekali gus memastikan lebih ramai pesakit terutama pemegang polisi Iltizam Selangor Sihat (ISS) menikmati faedah berkenaan.

“Kita akan keluarkan garis panduan atau protokol siapa boleh terima manfaat hospital dan jumlah kos rawatan yang ditanggung. EXCO (Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin) akan perincikan mekanisme pemberian dana manfaat ini.

“Kita tidak mahu orang salah guna dan salah tafsir berhubung manfaat ini. Kerisauan kita orang ramai sesuka hati mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan pemikiran Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos rawatan.

“Pada masa sama kita tidak mahu manfaat hospital swasta terpilih ambil kesempatan dengan mengarahkan pesakit mendapatkan rawatan di hospital mereka sebab Kerajaan Negeri akan bayar,” katanya.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan peruntukan RM59.7 juta bagi pelaksanaan program dan inisiatif kesihatan awam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ISS turut diteruskan dengan peruntukan RM35 juta yang memberi manfaat kepada penerima ISS berjumlah RM10,000 setahun di hospital panel terpilih.

Inisiatif itu selepas menyedari kos rawatan hospitalisasi di hospital swasta tinggi dan golongan berpendapatan rendah tiada kemampuan kewangan bagi membiayai rawatan tersebut.


Pengarang :