Suasana di sekitar Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana RM3 juta perkukuh Selangor hab halal global

SHAH ALAM, 11 NOV: Sejumlah RM3 juta diperuntuk tahun depan bagi memperkasa industri halal negeri termasuk penganjuran Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) pada Julai tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata Selhac 2024 akan memfokuskan kepada usaha inovasi digital halal, rangkaian bekalan logistik halal dan mempercepatkan pensijilan halal.

“Selhac 2024 bakal menjadikan Selangor platform utama Nusantara sektor halal dan menggerakkan perdagangan dua hala bidang itu.

“Inisiatif lain adalah program galakan pensijilan halal dan inovasi semakan digital pantas pensijilan halal,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 semalam.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri mengambil pendirian ekosistem halal dapat diterokai dengan lebih luas mengambil kira peningkatan populasi beragama Islam terutamanya di negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Dijangka menjelang 2030 populasi belia beragama Islam akan mencecah sehingga 396.9 juta bersamaan 30.7 peratus daripada keseluruhan belia di dunia.

“Subsektor halal seperti fesyen, farmaseutikal, kosmetik, serta rekreasi perlu diteroka dan beberapa program berikut akan diusahakan,” katanya.


Pengarang :