Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dewan Negeri lulus tubuh 10 jawatankuasa pilihan, pilihan khas

SHAH ALAM, 24 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan usul penubuhan 10 jawatankuasa pilihan dan pilihan khas yang baharu pada Penggal Pertama DNS ke-15.

Ia melibatkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Kerajaan, Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah, Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan, Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat, Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan, Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Dewan, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Perubahan Iklim, Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Agama, Wanita dan Kesejahteraan Hidup dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur dan Mobiliti.

Kesemua usul berkenenaan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Speaker DNS Lau Weng San berkata penubuhan kesemua jawatankuasa akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap Kerajaan Negeri.

Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San ketika sidang media di Lobi Dewan Annex selepas sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 24 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM /SELANGORKINI

“10 Jawatankuasa Pilihan dan Jawatankuasa Pilihan Khas sangat penting untuk DNS menjalankan pemantauan terhadap Kerajaan Negeri.

“Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Kerajaan akan diketuai Ketua Pembangkang dan ia juga tanda mercu kematangan DNS dalam membawa isu rakyat dan meningkatkan proses demokrasi,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Lobi Dewan Annex di sini hari ini, Weng San berkata setakat ini empat jawatankuasa akan diketuai oleh wakil rakyat kerajaan dan tiga lagi dari pembangkang.

“Komposisi lantikan pengerusi bagi tujuh jawatankuasa akan mengikut sistem Parlimen Westminster, majoriti keanggotaan dalam kalangan wakil rakyat kerajaan.

“Memandangkan jumlah wakil rakyat pembangkang bertambah pada penggal ini, lantikan dalam kalangan mereka juga bertambah tetapi bukan majoriti,” katanya.

 


Pengarang :