EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi (kiri) dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi menunjukkan piala Kejohanan Sukan Selangor (Sukses) ke-14 2023 di MSN Selangor pada 6 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Kejohanan Sukan Selangor bermula esok, tawar 377 pingat

SHAH ALAM, 6 NOV: Selepas tertangguh susulan pandemik Covid-19, Kejohanan Sukan Selangor (Sukses) kembali dianjur mulai esok hingga 19 November dengan menawarkan keseluruhan 377 pingat.

EXCO sukan berkata kejohanan edisi ke-14 yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar Hulu Langat mengetengah 109 acara meliputi sukan olahraga, pencak silat, boling padang, ping pong, petanque, sepak takraw dan berbasikal.

Menurut Mohd Najwan Halimi, kejohanan dwitahunan melibatkan penyertaan 1,500 atlet berusia bawah 21 tahun terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mewakili sembilan daerah negeri ini.

“Pemilihan atlet mewakili daerah dan program bawah Majlis Sukan Negeri Daerah dibuat berdasarkan skor merit. Di peringkat MSN Selangor, ada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi melayakkan atlet terbabit memasuki kejohanan ini.


EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ketika sidang media Kejohanan Sukan Selangor (Sukses) ke-14 2023 di Majlis Sukan Negeri Selangor pada 6 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Atlet dipantau daripada segi prestasi semasa menjalani latihan supaya pemilihan ke kejohanan ini dibuat secara telus dan terbuka,” katanya pada sidang media di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Sukses antara pendekatan Kerajaan Negeri menggalakkan pembangunan sukan peringkat akar umbi di setiap daerah selain menjadi kayu ukur kepada atlet yang menjalani latihan sepanjang tahun.

“Ia sekali gus melahirkan lebih ramai atlet yang berpotensi untuk diketengahkan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MSN Selangor menjelaskan pemilihan jenis sukan pada Sukses kali ini mengambil kira sasaran pingat bagi kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebab itu kita mahu cungkil bakat atlet dari peringkat daerah dan bertanding sesama sendiri pada kejohanan ini.

“Olahraga antara paling banyak pingat dipertandingkan, jadi kena banyak uji atlet sukan ini memandangkan prestasi semasa selalu berubah,” kata Mohamad Nizam Marjugi.

Untuk rekod, kontinjen daerah Petaling juara bertahan pada Sukses edisi sebelum ini.

Berikut lokasi dan tarikh kejohanan:

1. Olahraga – Kompleks Sukan MPK, Bandar Baru Bangi (17 hingga 18 November)

2. Pencak silat – Dewan Hyogo, Mara-Japan Institute (MJI) Beranang (17 hingga 18 November)

3. Boling padang – Gelanggang Boling Padang Sepang Perdana (7 hingga 11 November)

4. Ping pong – Kompleks Sukan MPKj, Bandar Baru Bangi (15 hingga 19 November)

5. Petanque – Gelanggang Petanque Bridget Tengah PGA Cheras (15 hingga 19 November)

6. Sepak takraw – Uptown Sport Bangi (15 hingga 19 November)

7. Berbasikal – Bagan Lalang Sepang (9 hingga 11 November)


Pengarang :