EXCO Perumahan Borhan Aman Shah melawat reruai pameran selepas merasmikan Expo Rumah BPEX (Seronoknya Ada Rumah) di Dewan 3 Pusat Pameran Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada 4 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Peruntukan khas rumah terbengkalai rancak usaha pemulihan, bela nasib pembeli

SHAH ALAM, 12 NOV: Peruntukan khas untuk pemulihan rumah terbengkalai membuktikan pentadbiran negeri serius untuk menyelesaikan isu terbabit, kata EXCO perumahan.

Borhan Aman Shah berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor sebagai agensi pemantauan berusaha memastikan projek terbengkalai disiapkan sehingga sijil layak menduduki diperoleh.

“Alhamdulillah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan khas untuk mengatasi projek atau perumahan terbengkalai di negeri ini. Isu tersebut menjadi tumpuan utama tahun hadapan.

“Saya percaya dengan peruntukan disediakan ini mampu merancakkan usaha pemulihan tersebut dan seterusnya membela nasib pembeli rumah,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 101 projek melibatkan 39,476 unit rumah diselesaikan sejak 2007 menerusi Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai.

Bagi merancakkan usaha pemulihan, beliau berkata sebanyak RM18 juta diperuntuk ke dalam Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai Selangor.

Beliau berkata lebih banyak projek dipulihkan antaranya pembesaran Kampung Koskan di Hulu Selangor dan Desa Mawar di Kuala Selangor.

Tambahnya, RM11.4 juta dibelanjakan bagi membaik pulih infrastruktur kedua-dua kawasan itu demi kemudahan penduduk.

Katanya, negeri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan dan KerajaanTempatan bagi memulihkan tiga projek bernilai RM7.25 juta di Taman Meru Makmur dan Pangsapuri Impian Meru, Klang.

Dalam perkembangan lain, Borhan yang juga EXCO pembangunan bandar lestari turut berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar yang memperuntuk RM500,000 bagi program Rewang Komuniti Strata.

“Program julung kali bakal dianjurkan tahun depan ini menumpukan kepada kawasan rumah pangsapuri dan diadakan selama dua hari satu malam dengan pelbagai pengisian program menarik.

“Tujuan utama adalah mahu menghidupkan semula modal insan dan mengeratkan ukhwah antara kejiranan kerana seperti kita sedia maklum di perumahan bertingkat adakalanya mereka tidak saling mengenali seperti di desa,” ujarnya.


Pengarang :