EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bercakap kepada media selepas Majlis perasmian sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat Selangor di Zoo Negara, Ampang Jaya pada 26 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Polis kesan mangsa keganasan rumah tangga enggan buat laporan

AMPANG JAYA, 26 NOV: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pihak polis bagi mengesan mana-mana mangsa keganasan rumah tangga yang enggan membuat laporan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjelaskan langkah itu bagi membantu pihak terbabit daripada terus menjadi mangsa keganasan yang boleh mengancam keselamatan.

Menurutnya pendekatan itu juga sejajar kempen 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender bermula semalam hingga 10 Disember bagi melawan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

“Kita tidak hanya melihat wanita sebagai pemandiri (keganasan) tetapi juga kanak-kanak. Walaupun sekali mereka menjadi mangsa keganasan, mereka tetap dikira sebagai mangsa keganasan.

“Jadi kita mahu (keganasan rumah tangga) dihentikan. Kita kerjasama dengan PDRM dan mahu ‘reach out’ (cari) mereka yang belum lapor kes keganasan rumah tangga untuk dibantu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat Selangor anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Zoo Negara di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anfaal memaklumkan sebanyak 25 peratus daripada 123 aduan dilaporkan ke Talian SELamat membabitkan kes keganasan rumah tangga sejak November 2021 hingga Oktober.

“Talian khas SELamat diwujudkan ketika pandemik dengan bantuan Kerajaan Negeri sebanyak RM100,000 dan hingga kini talian ini diteruskan bagi memudahkan mangsa membuat laporan.

“Sebanyak 123 aduan diterima melalui talian terbabit dengan 25 peratus daripadanya kes keganasan rumah tangga. Peratusan ini dianggap tinggi, maka harap semua masyarakat ambil maklum dan kepentingan jaga institusi keluarga (daripada berlaku keganasan),” katanya lagi.

Dikendali Wanita Berdaya Selangor, talian SELamat beroperasi selama 24 jam dengan pengadu boleh menghubungi talian 03-6419 5027.


Pengarang :