Pengarah Urusan Kumpulan Glomac Bhd Datuk Seri FD Iskandar bercakap pada Majlis Pelancaran Kesinambungan Projek Lakeside Residences di Puchong pada 6 November 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
SELANGOR

Glomac sasar jualan meningkat hingga 25 peratus tahun depan

PUCHONG, 6 NOV: Pemaju hartanah, Glomac Bhd menyasarkan untuk mencapai peningkatan jualan kira-kira 20 hingga 25 peratus pada tahun kewangan 2024.

Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Seri FD Iskandar berkata beliau yakin jualan akan mencapai sasaran itu berdasarkan pelancaran hartanah baharu bernilai RM630 juta pada tahun kewangan 2024.

“Pada tahun lepas, jualan kami sebanyak RM305 juta. Saya berpendapat minat terhadap hartanah telah kembali pada awal tahun ini, walaupun kita masih berdepan dengan cabaran seperti tenaga kerja dan kenaikan harga bahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kesinambungan projek Lakeside Residences di Puchong, sebuah pembangunan perbandaran dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4 bilion merangkumi 76.08 hektar (188 ekar) tanah, di sini.

FD Iskandar berkata dengan kenaikan harga bahan seperti simen, beliau berharap kerajaan akan meneliti perkara itu berikutan ia dimonopoli oleh sebuah syarikat.

“Jika kita mahu menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti untuk rakyat, kerajaan perlu membantu kami mengawal harga tertentu dan memberikan kelulusan yang lebih cepat kerana kos pembangunan dan kos pematuhan telah meningkat dengan ketara,” katanya.

Beliau berkata kos pematuhan sebelum ini hanya kira-kira lima peratus pada tahun 1990-an hingga naik sehingga 25 peratus dan seboleh-bolehnya, pemaju akan cuba menyerap kos itu tetapi pada satu tahap, akan memindahkannya kepada pembeli apabila ia tidak dapat menyerapnya lagi.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, FD Iskandar berkata projek itu yang diteruskan dengan GDV sebanyak RM2.6 bilion, merangkumi tiga plot kediaman perkhidmatan, satu plot komersial yang dijadualkan untuk sekolah atau hospital swasta, iaitu Loop City (6.07 hektar atau 15.3 ekar) dengan GDV sebanyak RM1.6 bilion, Lakeside Terrace (1.21 hektar atau tiga ekar) dengan GDV sebanyak RM41 juta dan Lakeside Semi-D (9.67 hektar atau 23.9 ekar) dengan GDV sebanyak RM416 juta.

Ia akan turut merangkumi kedai Lakeside Boulevard seluas 2.42 hektar atau enam ekar dengan GDV sebanyak RM90 juta dan rumah mampu milik Rumah Selangorku (RSKU) e-Khas yang akan berkeluasan 1.61 hektar atau empat ekar dengan GDV sebanyak RM69.5 juta.

Loop City, projek pembangunan bercampur bersepadu yang akan dilancarkan secara rasmi pada hujung minggu ini, memperkenalkan Loop Residences, fasa pertama sebanyak 980 unit berkeluasan 450 kaki persegi dan 750 kaki persegi, dengan julat harga bermula daripada RM230,000 hingga RM660,000 seunit.

Menyasarkan golongan profesional muda, pembeli rumah kali pertama dan pesara, Loop City turut menggabungkan ciri-ciri lestari dengan pensijilan bangunan hijau kategori gangsa untuk mengurangkan jejak karbon.

-BERNAMA


Pengarang :