EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 22 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Hospital Selgate Rawang dijangka mula operasi 2025

SHAH ALAM, 22 NOV: Hospital pertama milik Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Hospital Selgate Rawang dijangka mula operasi pada 2025, kata EXCO kesihatan awam.

Jamaliah Jamaluddin berkata pembangunan projek hospital tersebut kini sudah mencapai 47.9 peratus dengan kos pembinaan sebanyak RM148.5 juta.

“Kos pembinaan peringkat Fasa 1 dan Fasa 2 oleh syarikat pembinaan baharu untuk 230 katil membabitkan perbelanjaan sejumlah RM148.5 juta. Kos pembinaan pada Fasa 1 melalui syarikat pembinaan lama untuk 95 katil adalah RM83 juta.

“Dengan peningkatan jumlah katil di dalam kos pembinaan baru, terdapat penurunan kos sebanyak 26 peratus,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong yang ingin mengetahui status terkini pembinaan Hospital Selgate Rawang termasuk kos pembinaan setelah bertukar pemaju dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Jamaliah menjelaskan pembangunan Hospital Selgate Rawang yang sepatutnya siap pada tahun 2019 tertangguh disebabkan kekurangan tenaga kerja dan wabak pandemik Covid-19.

“Penangguhan juga disebabkan pematuhan tambahan regulasi di dalam projek ini yang membawa pertambahan jadual pembinaan kerja.

“Ia untuk memenuhi keperluan terbaru yang di keluarkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu ‘Fire Escape Bed lift’ bagi mematuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984.

“Kerja-kerja tambahan juga perlu dilakukan untuk memperbesarkan ‘Refuge Area’ (kawasan perlindungan) dan penambahan lif,” katanya.


Pengarang :