AGENDANASIONAL

Hujan lebat tahap buruk dijangka berlaku di utara hingga esok

SHAH ALAM, 22 NOV: Selepas Pantai Timur, hujan lebat berterusan tahap buruk dan waspada dijangka berlaku di wilayah utara Semenanjung.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan amaran itu melibatkan Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang sehingga esok.

“Berdasarkan analisis model cuaca, penumpuan angin monsun dijangka berlaku di timur dan utara Semenanjung sehingga 28 November ini.

“Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) yang melibatkan Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang berkuat kuasa sehingga esok,” katanya.

MetMalaysia dalam kenyataan sama turut mengemas kini amaran tersebut untuk Kelantan, Terengganu dan Pahang termasuk amaran angin kencang dan laut bergelora sehingga Jumaat ini.

“Sementara itu, di negeri lain ribut petir, hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Semalam, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu sehingga Jumaat ini.


Pengarang :